Pesan Ayahandamu Ibrahim AS

SERINGKALI kita melihat jalan dakwah ini payah dan penuh rintangan. Dalam pada itu juga kita sering lupa bagaimana Allah SWT hadirkan perlbagai kisah para Nabi untuk kita hayati dan jadikan inspirasi serta motivasi dalam meneruskan legasi perjuangan ini.

Menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm pada minggu lalu, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman membuka pertemuan dengan membacakan Surah Al-Hajj, surah yang ada kaitan dengan Dhuyufurrahman yang berada di Makkah mengerjakan Haji. Ustaz membacakan ayat akhir surah Al-Hajj ini yang mana terdapat nama ayahanda kita, Nabi Ibrahim AS. Kita diseru untuk menganggap Nabi Ibrahim AS sebagai ayah kita. Sekalipun secara biologinya, Nabi Adam AS sebagai bapa kita, namun Nabi Ibrahim AS merupakan ayah kita dari segi iman yang kita terima daripada Nabi Muhammad SAW yeng merupakan keturunan Nabi Ibrahim AS.

Ayat akhir surah Al-Hajj yang bermaksud : Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: \”orang-orang Islam\” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.

Ustaz kemudian mengajak kita untuk memahami ayat akhir surah Al-Hajj ini. Bagaimana kita ingin melihat ayat ini sebagai satu motivasi buat diri kita. Ustaz menggambarkan pekerjaan yang disebut melalui ayat ini satu pekerjaan yang mustahil untuk dilakukan gambarannya seperti seorang tukang jahit yang diberikan tanggungjawab bekerja di bidang pembangunan aplikasi dan web, yang langsung tiada perkaitan dan tidak mempunyai kemahiran.

Allah SWT menerusi ayat ini menyebut mengenai tugasan kita sebagai hamba di muka bumi ini dengan tugasan jihad yang sebenar-benarnya. Usahkan mahu berjihad di jalan Allah SWT, sedangkan kita dalam mengingatinya juga seringkali leka dan lupa. Tugasan ini amat sukar untuk kita lakukan. Namun, Allah SWT tetap memilih kita umat Nabi Muhammad SAW kerana pada kita Allah SWT melihat ada potensi. Kemudian Allah SWT tenangkan kita dengan menyebut “dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama,”. Sesungguhnya ia adalah jalan yang telah dilalui oleh ayahanda kita Nabi Ibrahim AS. Seorang insan yang diuji oleh Allah SWT untuk berhadapan dengan ayahandanya sendiri yang mencipta berhala, seorang yang dihumban ke dalam api. Seorang yang diuji oleh Allah SWT untuk meninggalkan anak isteri di padang pasir dan juga diuji untuk menyembelih anaknya sendiri.

Ini sebenarnya gambaran bagaimana Allah SWT mahu kita meyakini bahawasanya Allah SWT yang telah memberi kemudahan kepada Nabi Ibrahim AS untuk melalui segala ujian berat yang dilalui oleh Nabi Ibrahim AS. Allah SWT yang sama jugalah yang memberikan kemudahan dan kekuatan kepada kita dalam melakukan segala syariat yang mungkin kita lihat sebagai beban. Inspirasi kita adalah Nabi Ibrahim AS.

Begitu dekat Nabi Ibrahim AS kepada kita sehinggakan Allah SWT menyebut sebagai ayah. Walaupun kita menyatakan kita sebagai seorang muslim, tetapi apabila kita tidak mengenali sirah Nabi Ibrahim AS seolah-olah kefahaman kita tentang Islam itu pincang. Menakjubkan apabila Al-Quran menyebutkan tentang Nabi Ibrahim AS, pasti terdapat di situ juga mengenai Islam dan muslim. Setengah daripada kita merasakan sudah cukup Islam apabila ibu dan ayah kita Islam. Tidak cukup untuk itu kita disebut sebagai Islam selagi kita tidak benar-benar menghayati perjuangan Nabi Ibrahim AS hampir 100 tahun untuk anak cucunya mengenali inilah Islam.

Kita bawa satu contoh bagaimana Nabi Ibrahim AS dengan kalimah Islam itu sangat dekat dalam kisah Baginda Nabi Ibrahim AS mendekati ayahandanya untuk berdakwah dalam keadaan dengan penuh kesantunan dan kelembutan serta bertemankan airmata menyeru ayahnya untuk kembali kepada Tauhid. Diakhir seruan kepada ayahandanya, Nabi Ibrahim AS menyebut “Salamun ‘Alaika” yang bermaksud sejahteralah kamu. Ini bererti, Islam itu damai dan tenteram sekalipun ayahandanya mengusir serta memukul Baginda.

Semoga kekuatan jiwa Nabi Ibrahim AS dalam membawa nama Islam kepada kita benar-benar dapat kita hayati dengan penuh ketenangan dan kesejahteraan dalam jiwa kita dan jadikan kisah Nabi Ibrahim AS sebagai inspirasi kita untuk terus berjuang pada jalan Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 20 September 2016
WhatsApp
Scroll to Top