Bulan Ramadan merupakan bulan yang paling dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia bukan sekadar bulan untuk menahan lapar dan dahaga, tetapi juga bulan yang penuh dengan keberkatan, pengampunan, serta pembebasan dari api neraka.
Namun, untuk menghayati keistimewaan bulan Ramadan, persiapan yang rapi perlu dilaksanakan terutama dari segi mental. Umum mengetahui antara cabaran berpuasa di bulan Ramadan ialah cuaca panas terik sehingga menjejaskan tahap tenaga, menyebabkan kita menjadi tidak bermaya. Melalui segmen Topik Jumaat dalam Slot Inspirasi Pagi yang bersiaran pada setiap hari Jumaat jam 8.30 pagi, Datuk Ustaz Malai Ali bin Malai Ahmad, Timbalan yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah berkongsi mengenai persiapan yang boleh diamalkan untuk menyantuni bulan yang mulia ini.
Antara persiapan yang boleh dilaksanakan adalah mengamalkan puasa sunat sebelum tibanya bulan Ramadan untuk melatih daya tahan mental dan fizikal. Untuk mereka yang sudah biasa berpuasa sunat termasuk di bulan Rejab dan Syaaban, berpuasa sebulan Ramadan bukan lagi satu ibadah yang sukar dilaksanakan.
Persiapan mental turut boleh dilaksanakan menerusi penghayatan terhadap kelebihan-kelebihan bulan Ramadan. Umat Islam dijanjikan ganjaran berlipat kali ganda untuk setiap ibadah dan amal kebaikan yang dilakukan. Bahkan, umat Islam turut diberikan Hari Raya Aidilfitri sebagai hadiah atas kejayaan berpuasa di bulan Ramadan. Apabila kita menjiwai kehebatan bulan Islam ini, berpuasa itu tidak lagi menjadi sesuatu yang sukar untuk ditempuhi.
Selain itu, kita mestilah mengamalkan sahur untuk memastikan badan kekal bertenaga menjalani ibadah puasa. Sabda Rasulullah S.A.W dalam riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada Anas bin Malik RA:
“Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.”
Keberkatan bersahur ini boleh dirasai menerusi saranan Nabi untuk melewatkan waktu makan sahur. Dalam riwayat Muslim, al-Nasaie dan Ibnu Majah, Rasullullah diriwayatkan oleh Zaid bin Thabit RA bersabda bahawa:
“Kami telah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bangun untuk mendirikan solat, aku telah bertanya, berapa jarak antara keduanya? Maka baginda SAW bersabda: 50 ayat.”
Menurut ustaz Malai Ali, jarak antara imsak dan azan Subuh adalah sekitar 10 minit, dan itulah waktu terbaik untuk bersahur. Hikmah melewatkan sahur ialah badan menerima nutrien yang mencukupi, serta mengurangkan tempoh masa yang diperlukan untuk berpuasa. Hal ini akan meningkatkan daya tahan badan untuk berpuasa, berbanding mereka yang bersahur pada awal pagi.
Memaksimumkan keberkatan Ramadan
Mengambil peristiwa Nuzul Quran, bulan Ramadan juga digelar sebagai bulan al-Quran. Oleh itu, umat Islam dianjurkan untuk mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam bulan ini. Hasil inovasi dan teknologi terkini, al-Quran semakin mudah dicapai, sehingga boleh diakses menerusi aplikasi dalam telefon pintar. Walau bagaimanapun, adalah lebih afdhal untuk membaca mushaf al-Quran bagi mendapatkan pahala berganda. Ayat al-Quran yang telah dihafal juga boleh dialunkan di mana-mana sahaja, contohnya ketika memandu serta memasak.
Bulan Ramadan juga merupakan bulan tarbiah. Oleh itu, umat Islam sangat dituntut untuk menjaga perilaku mereka terutamanya lisan. Setiap pertuturan perlulah dijaga agar tidak menyakiti orang lain. Bahkan kita juga perlu berhati-hati ketika meninggalkan sebarang komentar di laman media sosial, kerana penulisan juga merupakan manifestasi pertuturan.
Berbahas tentang keberkatan Ramadhan, adab berpuasa juga perlu diambil kira dengan lebih mendalam. Menurut ustaz Malai, adalah lebih baik bagi orang yang sakit mahupun wanita yang uzur untuk tidak makan di khalayak ramai ketika bulan puasa. Hal ini kerana untuk menghormati bulan Ramadan itu sendiri, bahkan larangan undang-undang Syariah di Malaysia mengenai makan di khalayak ramai semasa Ramadan juga tidak mengira jantina dan asbab.
Sesungguhnya rahmat Allah itu amat luas. Apabila ada jalan untuk ke arah kebaikan maka janganlah kita tangguhkan. Sebaiknya kita mohon doa untuk Allah permudahkan urusan kita, sesuai dengan sabda Rasullullah SAW, riwayat Imam Bukhari:
“Jika seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekat kepadanya sehasta, jika dia mendekatkan diri kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa, dan jika dia mendekatkan diri kepada-Ku dengan berjalan maka Aku akan mendatanginya dengan berlari.”
Artikel ditulis oleh Husna Fathiyyah binti Mohd Fairuz