PERPADUAN TERAS NEGARA – MENTERI AGAMA JUNJUNG TITAH SULTAN PERAK

PUTRAJAYA, 16 April – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar menjunjung kasih atas titah penuh hikmah oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menegur amalan memperalat isu agama dan kaum demi kepentingan sempit.

Menurut beliau, titah Baginda merupakan satu peringatan penting kepada seluruh rakyat dan kepimpinan negara bahawa perpaduan, saling menghormati serta toleransi adalah asas utama kepada kestabilan dan keharmonian negara.

“Saya turut tersentuh dengan pujian Baginda terhadap kerjasama antara Masjid Al-Falah dan Kuil Sri Maha Kaliamman ketika insiden kebakaran baru-baru ini. Ia adalah satu contoh akhlak dan kemanusiaan tinggi yang wajar dijadikan teladan oleh seluruh masyarakat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Na’im menyeru semua pihak agar menolak budaya politik kebencian dan ekstremisme yang boleh meruntuhkan asas keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

“Ayuh kita jadikan titah Baginda sebagai pedoman untuk membina Malaysia MADANI yang menjunjung kasih sayang, hikmah dan tanggungjawab bersama demi masa depan yang lebih harmoni dan sejahtera,” katanya lagi.

Baginda Sultan Perak ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 semalam bertitah sangat mendukacitakan politik kebencian dijadikan pilihan dan dikhuatiri negara bakal menghadapi warga yang tidak lagi bersatu, malah membenci dan memusuhi antara satu sama lain. 

WhatsApp
Scroll to Top