PERMAINAN UPIN & IPIN TONJOL KEUNIKAN BUDAYA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 9 Julai (IKIM) – Watak kanak-kanak ikonik Malaysia, Upin & Ipin kini tampil dengan permainan Upin & Ipin Universe, satu permainan baharu yang bakal menonjolkan keunikan budaya Malaysia diinspirasikan daripada siri animasi kesayangan Asia Tenggara Upin & Ipin, akan menemui peminat pada 17 Julai ini. 

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata pelancaran permainan Upin & Ipin Universe bukan hanya memperkenalkan permainan baharu, sebaliknya ia bukti kreativiti, inovasi dan semangat kerjasama yang mencorakkan usaha Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau animasi dan permainan.

“Pelancaran Upin & Ipin Universe hari ini contoh kecemerlangan yang boleh dicapai oleh Malaysia apabila kreativiti digabungkan dengan peluang. Permainan ini hasil kerjasama antara Les’ Copaque Production dan Streamline Studios, mencerminkan inovasi serta kekayaan budaya yang menjadikan permainan keluaran Malaysia unik dan menyerlah,” katanya semasa berucap sempena pelancaran rasmi Permainan Video Upin & Ipin Universe pada Jumaat lepas. 

Permainan berkenaan boleh didapati di Steam and Epic Game Store, PlayStation 4 dan 5, serta Nintendo Switch, menandakan satu pencapaian bermakna bagi francais yang diiktiraf di peringkat global.

Dibangunkan oleh Streamline Studios, Upin & Ipin Universe adalah permainan dunia terbuka dengan kempen naratif melebihi 12 jam, bertujuan menarik minat penonton di seluruh dunia sambil mengekalkan keasliannya. 

Diperkenalkan semasa ‘Southeast Asia Summer Showcase’ permainan ini mengajak pemain meneroka keindahan kehidupan tradisional Asia Tenggara, kaya dengan elemen budaya, menggabungkan rasa nostalgia dengan mekanik permainan moden. 

Dengan gabungan unik antara permainan yang menghiburkan, tema yang dekat dengan budaya, dan pesona ikonik Upin & Ipin, permainan ini bersedia untuk mencipta impak besar dalam genre pengembaraan dunia terbuka. 

Turut hadir Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Burhanuddin Md Radzi, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Gerald Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif Streamline Media Group Alexander Fernandez.

WhatsApp
Scroll to Top