KUALA LUMPUR, 12 November (IKIM) – Perlu wujudkan satu piawaian bagi memastikan maklumat berkaitan agama di aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) tepat berlandaskan al-Quran dan Sunnah.
Pakar berkaitan AI dan institusi pemikir seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) perlu berperanan melaksanakan kerja-kerja tambahan dengan lebih komprehensif berkaitan AI dan integrasi dengan ilmu agama.
Prof. Dato’ Dr. Mohammad Nur Manuty, Pengerusi IKIM berkata dengan kewujudan AI, ia merupakan satu peluang oleh generasi muda agar tidak membebankan mereka untuk pelajari berkaitan asas agama. Bagaimanapun, pada masa yg sama perlu menambah ilmu bagi membina sahsiah mereka yg berimbangan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Teknologi Pendidikan pada 11 dan 12 November di sini, hari ini.
“Kepantasan teknologi AI mampu menghasilkan natijah positif dari segi teori dan amali kependidikan. Namun, tugasan mendidik manusia secara komprehensif iaitu proses ta’lim dan ta’dib hendaklah berjalan serentak.
“Jika tidak ada keseimbangan ini, kecanggihan AI boleh menimbulkan keraguan (skeptisme) terhadap Sang Pencipta Yang Maha Mengetahui lagi Maha Melihat,” katanya.
Seminar dua hari ini merupakan kerjasama IKIM bersama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP); dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Turut hadir dalam seminar tersebut Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM.
Jurugambar : Fathulmungin Mohd. Yusof