
PUTRJAYA, 15 JULAI 2024 (IKIM) : Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mahu pindaan kepada Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan bagi memperkasakan Undang-Undang Syariah tidak dilakukan secara tergopoh-gopoh.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mengesyorkan proses pindaan itu dilakukan dengan teliti mengambil kira pandangan semua pihak sama ada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, termasuk pakar undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia di Putrajaya pagi tadi.

Konvensyen itu yang membicarakan strategi dan langkah terbaik dalam menghadapi cabaran semasa perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia adalah inisiatif Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama agensi-agensi yang terlibat antaranya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Turut hadir dalam konvensyen tersebut YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan.
