PERDANA MENTERI UMUM SUMBANGAN RM2 JUTA KEPADA INSTITUT PEMIKIRAN AL-QARADAWI

Oleh: Haziq Izzuddin Abdullah
Jurugambar: Fatkhulmungin Mohd Yusof

KUALA LUMPUR, 21 Julai (IKIM) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan sumbangan Kerajaan MADANI sebanyak RM2 juta kepada Institut Pemikiran Al-Qaradawi bagi mendukung pengembangan serta memperkukuh penyelidikan berkaitan sumbangan Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi.

Perdana Menteri membuat pengumuman itu ketika merasmikan Seminar Pemikiran Yusuf Al-Qaradawi dan Institut Pemikiran Al-Qaradawi di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, semalam.

“Sudah pasti secara peribadi saya amat terhutang budi kepada Al-Qaradawi sama ada dari segi idea pemikiran, dukungan moral mahupun persahabatan yang dibina atas asas keikhlasan. Semoga ikhtiar seperti ini akan mendapat barakah, membawa manfaat dan mencerahkan umat,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial X.

Beliau turut menyingkap kembali kisah awal interaksi serta kerjasamanya dengan tokoh ilmuwan Islam itu ketika aktif bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Beliau berkata, Al-Qaradawi disifatkan sebagai pencetus perubahan atau zeitgeist, penggerak semangat zaman yang menzahirkan keterbukaan dalam pemikiran serta mendambakan pembaharuan bagi menghadapi cabaran era moden.

“Sewaktu meningkatnya semangat kebangkitan Islam sekitar awal 1980-an, Al-Qaradawi menghantar satu risalah kepada pimpinan ABIM yang menegaskan agar ABIM mengambil jarak daripada aliran keras dan mengekalkan wasatiyah atau kesederhanaan.

“Nasihat ini bagi saya amat penting ketika meningkatnya semangat dan aliran pemikiran yang tidak terbuka menerima pandangan yang berbeza pada waktu itu,” katanya.

Majlis Perasmian Seminar Pemikiran Yusuf Al-Qaradawi dan Institut Pemikiran Al-Qaradawi yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 21 Julai 2026 di DBP dan turut dihadiri Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

WhatsApp
Scroll to Top