Oleh: Haziq Izzuddin Abdullah
BANGI, 20 Julai (IKIM) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Pelaburan MARA Berhad (PMB) melancarkan dua inisiatif baharu iaitu Model Saringan Maqasid Al-Syariah dalam Pelaburan Bertanggungjawab (MSRI) serta pengenalan sistem Zakat Khultah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, inisiatif itu bukan sekadar memperkukuh pematuhan syariah dalam pelaburan, malah berupaya membawa anjakan baharu dalam kewangan Islam menerusi integrasi bersama kerangka Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Kita memberikan roh yang lebih besar dengan memasukkan elemen Maqasid Syariah yang mempunyai hikmah, maslahah serta selari dengan nilai kemanusiaan.

“Berbanding model konvensional, pendekatan Maqasid dan Syariah ini sangat ke hadapan kerana ia memelihara keseluruhan objektif utama (kehidupan) manusia secara umum,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Literasi Kewangan Islam Berteraskan Maqasid Al-Syariah Sempena Peluncuran (MSRI) dan Zakat Khultah di sini, pada Isnin.
Mengulas mengenai kelebihan Zakat Khultah, Zulkifli menjelaskan bahawa inisiatif tersebut memberikan kemudahan buat pemegang unit amanah saham kerana kewajipan zakat akan diuruskan terus oleh pihak pengurusan mengikut syariat terbaik.

Langkah itu sekali gus membolehkan pelabur beragama Islam menikmati pendapatan bersih yang kekal kompetitif, di samping memastikan kewajipan berzakat mereka diselesaikan secara sistematik dan efisien tanpa menjejaskan matlamat pelaburan jangka panjang.
“Justeru, saya melihat model yang dilancarkan pada hari ini sebagai manifestasi praktikal kepada gagasan tersebut. Ia membuktikan bahawa pelaburan Islam tidak lagi hanya menilai sesuatu pelaburan dari sudut pematuhan hukum semata-mata, bahkan turut mengambil kira impaknya terhadap manusia, masyarakat dan alam sekitar,” ujarnya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Kumpulan PNB, YM Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda; Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli; dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.




