PERBUATAN PECAH BELAH PERPADUAN WAJIB DITENTANG – SULTAN NAZRIN

KUALA KANGSAR, 9 Nov (IKIM) – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegaskan bahawa segala perbuatan yang berpotensi memecah belahkan perpaduan serta keharmonian kaum di negara ini wajib ditentang dengan tegas.

Baginda bertitah, usaha menyatupadukan rakyat akan terus berdepan cabaran selagi masih wujud segelintir pihak yang gemar mensensasikan isu perkauman, keagamaan, kenegerian dan wilayah, sedangkan tumpuan seharusnya diberikan kepada pengukuhan persefahaman dan kerjasama yang telah dirintis oleh pemimpin terdahulu.

“Negara ini jangan dijadikan rumah sengketa, tempat berpesta insan yang mabuk kuasa. Merdeka itu akan hancur maknanya apabila lidah sebahagian rakyat bersifat lebih bisa daripada anak panah beracun, meracuni fikiran rakyat,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-69 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, serta dihadiri Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah; dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Dalam titah baginda, Sultan Nazrin menegaskan bahawa kemerdekaan bukan sekadar sambutan atau perayaan mengibarkan Jalur Gemilang, sebaliknya merupakan lambang maruah bangsa dan asas berdirinya negara dengan kekuatan sendiri.

“Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi turut merangkumi kebebasan minda, kematangan politik, kejayaan membangunkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat yang berpaksikan semangat satu warga,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan bahawa Malaysia terbina atas asas Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf komposisi masyarakat berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa, justeru sebarang bentuk kebencian dan prejudis hanya akan merosakkan keharmonian yang telah sekian lama dibina.

“Amat merugikan jika kelainan dan perbezaan dilihat dari sudut negatif yang sarat dengan prasangka buruk, sehingga merosakkan hubungan harmoni sesama manusia serta menjejaskan paksi keseimbangan dalam hubungan antara kaum dan agama,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menekankan bahawa semangat permuafakatan dan persefahaman yang diasaskan oleh pemimpin terdahulu ketika membentuk negara merdeka perlu terus dihormati dan dipertahankan.

Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan segelintir pihak yang terlalu dipengaruhi emosi sehingga boleh membawa kerugian besar kepada negara, terutama apabila tenaga dan sumber negara disia-siakan dalam pertelagahan politik yang tiada kesudahan.

“Masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk membela nasib rakyat, khususnya mereka yang hidup daif dalam kemiskinan. Rakyat tidak harus dijadikan mangsa persengketaan politik sedangkan negara memerlukan tumpuan kepada kerja yang lebih produktif,” titah baginda.

Dalam istiadat berkenaan, Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada Raja Muda, Raja Dihilir, Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar, ahli Dewan Negara Perak, Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, hakim, ahli Dewan Negeri, ulama, pasukan keselamatan, badan beruniform, penghulu, imam serta pemimpin masyarakat yang sentiasa mendukung usaha baginda memakmurkan negeri.

Baginda turut menghargai sumbangan pihak swasta, badan sukarela, pertubuhan belia, badan kebajikan dan sukan yang melengkapkan usaha pembangunan kerajaan negeri bagi memastikan Perak terus aman, sejahtera dan makmur.

WhatsApp
Scroll to Top