KOTA BHARU, 22 Julai (IKIM) – Usaha menyampaikan kefahaman Islam yang sebenar akan terus diperhebat dan diperkukuh dengan peranan yang dimainkan oleh Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm).
Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman berkata dengan kematangan usia IKIMfm yang mencapai 24 tahun, peranan menyampaikan kefahaman Islam ini perlu terus diperkukuh bukan sahaja kepada pendengar dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata demikian ketika sesi perkongsian sempena Sambutan Ulang Tahun ke-24 IKIMfm di Aoen Mall di sini, hari ini.
Pada program tersebut turut berlangsung bicara Usrah Khabar Orang Muda menampilkan naqib Fadzli Aziz; serta panel Presiden Majlis Gabungan Belia Kelantan, Khairul Azhar Kamaruzaman; Imam Muda Masjid Jajahan Tanah Merah, Ustaz Wan Mohamed Syahir Wan Mahmood serta moderator Dj Syafiq dan Dj Tyzo.

Turut hadir pada program ini Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd Zaidi Ismail; Pengarah Pusat Media IKIM, Ahmad Fuad Mat Ali; dan Pengurus Besar IKIMfm, Erwan Johari.
Kehadiran barisan penyampai IKIMfm antaranya termasuk Suffian Amrin, Faiz Hj Othman dan Batrisyia Afrina turut meraikan pengunjung yang memeriahkan program.

IKIMfm meraikan ulang tahunnya pada 6 Julai setiap tahun.
Penganjuran program ini sempena Karnival Semarak Ilmu 3.0 anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang berlangsung bermula 21 hingga 23 Julai dan dirasmikan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Ir. Dr. Arham Abdullah.
Pada kesempatan kunjungan delegasi IKIM ke Kelantan ini, turut berlangsung kunjungan hormat ke Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang turut membincangkan dan mengorak langkah untuk memperluas jaringan kerjasama antara IKIM dan MAIK pada masa hadapan.

Kunjungan tersebut dissambut oleh Timbalan Yang Di Pertua MAIK, Dato’ Hj. Mohd Anis Hussein.
