PENERBIT UPSI, OXFORD UNIVERSITY PRESSRINTIS KERJASAMA PENERBITAN

TANJUNG MALIM, 1 April (IKIM) – Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris (Universiti Pendidikan Sultan Idris) terus mengukuhkan kedudukannya di pentas antarabangsa menerusi penyertaan dalam Fellowship Program Bangkok sempena Thailand International Book Fair yang berlangsung di Queen Sirikit National Convention Centre pada 27 hingga 28 Mac lalu.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Antarabangsa) UPSI, Suriani Abu Bakar menyifatkan pengiktirafan daripada Oxford University Press sebagai satu pencapaian membanggakan, selain mencerminkan keyakinan industri antarabangsa terhadap kredibiliti dan standard penerbitan UPSI.

Menurut beliau, penyertaan dalam program berkenaan menjadi platform penting dalam memperkenalkan karya akademik Malaysia ke pasaran global, di samping memperkukuh jenama Penerbit UPSI sebagai penerbit universiti yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. Usaha ini juga sejajar dengan strategi memperluas jaringan global serta meningkatkan kebolehpasaran kandungan ilmiah tempatan.

Sementara itu, Pengarah Penerbit UPSI, Prof Madya Dr Nordiana Hamzah berkata Fellowship Program Bangkok menghimpunkan penerbit, editor dan pemain industri buku dari seluruh dunia bagi memperkukuh jaringan serta meneroka peluang kerjasama strategik. Program itu berlangsung seiring dengan penganjuran pesta buku terbesar di rantau Asia Tenggara yang menjadi platform utama perdagangan hak cipta dan pertukaran idea industri buku global.

Beliau berkata penyertaan UPSI membuahkan perkembangan signifikan apabila mencapai persetujuan awal bagi urus niaga penjualan lesen sebanyak 200 judul e-buku bahasa Melayu kepada OUP, yang akan diperincikan lanjut oleh pihak perundangan kedua-dua institusi sebelum dimuktamadkan.

Selain itu, syarikat penerbitan dari India, Aram Publication turut menunjukkan minat terhadap beberapa judul terbitan UPSI dengan perbincangan awal berada pada tahap positif dan akan diperhalusi sebelum dimuktamadkan.

Antara judul yang dikenal pasti termasuk Malay Women in Colonial Texts, Reef Life: The Heart of Malaysian Sea, Alice and Her Magic Scarf dan beberapa karya lain yang dilihat berpotensi menembusi pasaran antarabangsa, khususnya di rantau Asia Selatan.

Sepanjang Bangkok Rights Fair, Penerbit UPSI turut mengadakan rundingan strategik dengan penerbit dari pelbagai negara termasuk Thailand, China, United Kingdom, India, Turki dan Korea Selatan bagi membuka ruang kolaborasi, penerbitan bersama serta pertukaran hak cipta pada masa hadapan.

Ketua Editor Penerbit UPSI, Azlan Mohd Dahari pula menyifatkan penyertaan ini sebagai pengiktirafan besar hasil pemilihan oleh Publishers and Booksellers Association of Thailand (PUBAT), sekali gus membuktikan kekuatan jaringan dan reputasi UPSI dalam industri penerbitan antarabangsa.

WhatsApp
Scroll to Top