PUTRAJAYA, 29 Jun (IKIM) – Penerbit IKIMfm, Siti Rohani Surani mengharumkan nama stesen radio itu apabila meraih tempat kedua Pemenang Liputan Media Kategori Radio pada Majlis Pengiktirafan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang berlangsung di Putrajaya, malam ini.
Anugerah berkenaan disampaikan bersempena Majlis Pengiktirafan RKB yang turut menyaksikan kerajaan mengiktiraf 14 Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Berimpak Tinggi sebagai menghargai komitmen kementerian, agensi dan kerajaan negeri dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam serta meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.

Turut disampaikan sijil kepada 86 Projek RKB Berpotensi Tinggi, 12 penerima kategori Pencapaian Bilangan Projek RKB Siap Tertinggi dan tiga penerima Anugerah Khas RKB.
Majlis disempurnakan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, serta dihadiri Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Kerajaan Negeri, pengurusan perkhidmatan awam dan negeri, penyelaras RKB serta wakil projek.
Dalam ucapannya, Shamsul Azri berkata reformasi perlu diterjemahkan melalui perubahan yang dapat dilihat, diukur dan dirasai oleh rakyat serta komuniti perniagaan.

Beliau menegaskan usaha mengurangkan kerenah birokrasi perlu diteruskan secara konsisten bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam dan mempertingkat daya saing negara.
Kejayaan Siti Rohani Surani memenangi tempat kedua dalam kategori radio mencerminkan komitmen IKIMfm dalam menghasilkan liputan yang berkualiti serta menyokong usaha kerajaan menyebarluaskan maklumat berkaitan agenda reformasi perkhidmatan awam kepada masyarakat.
Turut hadir majlis Pengarah Pusat Media IKIM, Haji Ahmad Fuad Mat Ali.
Jurugambar: Nazatul Hazirah Azlee




