Oleh: Haziq Izzuddin Abdullah
PASIR GUDANG, 30 Jun (IKIM) – Golongan muda yang mewakili sebahagian besar populasi Malaysia terus menjadi fokus pembangunan sahsiah menerusi Program Anak Muda Berselawat Peringkat Negeri Johor sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H di Perpustakaan Tun Dr. Ismail, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang, malam tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, semangat perpaduan dan perubahan ke arah yang lebih baik perlu terus diperkukuh sebagai asas membina masyarakat serta negara yang lebih maju dan berdaya saing.
“Kita menumpukan kepada anak muda ini berpotensi besar dalam menentukan masa depan negara,” katanya semasa ditemubual pemberita.

Beliau berkata sambutan yang memberangsangkan itu memupuk semangat pihak Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam meneruskan lagi program berselawat seluruh Malaysia.
“Kita akan buat satu selawat mega yang diketuai dan diterajui oleh anak-anak muda,” tambah beliau.

Dalam pada itu, program Rakan Muda Masjid dimana jawatankuasa belia dilancarkan disambut dengan baik seperti sebelumnya.
Turut hadir Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil; Rektor UiTM Cawangan Johor, Profesor Madya Dr. Saunah Zainon dan Penolong Rektor UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang, Dr Siti Khadijah Alias.




