PENDEKATAN FIQH TA’AYUSH : SAMBUTAN PERAYAAN DALAM KEPELBAGAIAN

Oleh : Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil

Sebagai sebuah negara Islam yang mempunyai ciri-ciri kepelbagaian budaya yang kukuh, Malaysia merupakan kajian kes ideal dalam memperluaskan aplikasi fiqh al-ta’ayush atau fiqh hidup bersama dalam aman dan damai. Dalam demografi masyarakat terdiri daripada 70 peratus Muslim dan 30 peratus bukan Islam, hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. Ia juga telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam merupakan agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai menerusi Perkara 3(1).

Fiqh al-ta’ayush telah menjadi salah satu tajuk perbincangan utama dalam perundangan Islam, terutamanya apabila salah satu cabaran dihadapi kerajaan hari ini dalam menyesuai dan mengurus kepelbagaian. Menerusi Surah al-Hujuraat ayat 13, Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

Dalam sebuah negara yang mempunyai multi-agama, sambutan perayaan keagamaan oleh semua pihak adalah lumrah. Masyarakat Muslim terbiasa mengucapkan Selamat Hari Natal, Deepavali, Tahun Baharu Cina dan sebagainya kepada rakan bukan Islam, begitu juga sebaliknya. Bagi sambutan seperti Tahun Baharu Cina, tidak ada isu kerana ia bukan perkara agama namun apabila melibatkan ritual atau perayaan keagamaan, polemik tentang sama ada boleh atau tidak mengucapkannya senantiasa timbul.

Ulama Islam berbeza pendapat dalam hal ini. Sebahagian ulama melarangnya kerana ia membawa kepada konotasi pengakuan dan menyebarkan kebesaran agama lain manakala terdapat pendapat yang membenarkan orang Islam mengucapkan selamat hari raya kepada rakan bukan Islam demi menjaga hubungan baik sesama kaum, bukannya mengakui kepercayaan agama lain.

Antara ulama terawal yang membenarkannya ialah Syeikh Muhammad Ahmad ‘Ulaisy al-Maliki yang menyatakan bahawa jika seorang Muslim mengunjungi rakan bukan Islam (zimmi) pada hari perayaan agama mereka dan mengucapkan ‘Semoga Allah melindungi kamu sepanjang tahun’ tidak dimaksudkan sebagai mengagungkan atau mengakui kekufuran mereka (Rujuk Fath al-‘Ali al-Malik fi al-Fatwa ‘ala Mazhab al-Imam Malik, 2/350).

Menurut Imam al-Mardawi dalam satu pandangan daripada Imam Ahmad, beliau mengharuskan untuk mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam sempena perayaan mereka jika ada manfaat yang besar, seperti dengan harapan mereka mendapat hidayah Islam. Manakala Imam Abu Daud berpendapat, adalah diharuskan jika kita ingin mengajak mereka kepada Islam (Rujuk Al-Insaf fi Ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, 4/234-235).

Antara ulama kontemporari yang membenarkan atau mengharuskannya juga adalah seperti Syeikh Muhammad Rashid Redha, Syeikh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthi, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Dr Ali Jum’ah dan Syeikh Hamzah Yusuf. Menurut ulama kontemporari ini, tiada ijmak yang jelas tentang pengharaman untuk mengucapkan selamat hari raya bagi perayaan agama lain.

Mengambil pendapat Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, beliau mengharuskan ucapan tahniah kepada orang bukan Islam yang tidak memerangi dan memusuhi orang Islam. Menurutnya, Nabi Muhammad S.A.W sendiri senantiasa bersikap baik dan bersifat mulia terhadap orang bukan Islam. Ini adalah amat bertepatan dengan Surah al-Mumtahanah Ayat 8: “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu…”

Berdasarkan hujah di atas, saya cenderung untuk mengambil pandangan yang mengharuskannya, mengambil kira dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang agama dan etnik. Ini juga selari dengan ketetapan dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 bersidang pada 12 Jun 2007 iaitu: “Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.”

Keputusan yang dikeluarkan oleh Muzakarah ini juga adalah selaras dengan fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (Mesir) iaitu harus mengucapkan tahniah kepada orang bukan Islam merayakan perayaan mereka dengan lafaz yang tidak bertentangan dengan akidah Islam dan perbuatan ini termasuk di bawah bab Ihsan. Majlis Fatwa Eropah juga mengharuskannya sesuai dengan Fiqh al-Aqalliyyat bertujuan memelihara masyarakat minoriti Muslim sendiri di negara bukan Islam.

Sehubungan dengan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Rujuk Tahqiq al-Masail 7) telah mengemukakan Garis Panduan Umum bagi orang Islam yang ingin mengucapkan atau menyertai rakan bukan Islam semasa sambutan perayaan keagamaan mereka iaitu harus mengucapkan Selamat Hari Natal buat rakan-rakan Kristian apabila terdapat keperluan berbuat demikian (dalam konteks sambutan Krismas) dengan tujuan untuk mengekalkan hubungan baik dan bagi mengelakkan sebarang ketegangan sosial dalam kehidupan masyarakat majmuk. Ucapan tersebut juga bukanlah bertujuan untuk mengagungkan dan memuliakan agama lain.

Mengambil contoh dan pendekatan bagi kaum keluarga yang memiliki anggota Islam dan bukan Islam, pemimpin bagi masyarakat majmuk, jiran tetangga dan rakan sekerja, ucapan seorang Islam kepada bukan Islam dapat menyuburkan semangat kasih sayang dan toleransi sesama kita.

Ini juga bertepatan dengan konsep fiqh al-ta’ayush sebagaimana disebut awal tadi yang juga merujuk kepada pengertian hidup bersama dengan orang lain dalam keadaan harmoni di samping dapat menerima kewujudan satu sama lain tanpa mengira latar belakang etnik dan agama. Adalah penting untuk kita menyedari bahawa meskipun kita berbeza warna kulit, bangsa, jalur politik dan agama, kita semua tetap bersaudara.

Islam adalah agama rahmat meliputi semua makhluk (rahmatan lil ‘alamin). Ini juga merupakan teras asas dakwah Rasulullah S.A.W. Mengambil firman Allah S.W.T dalam Surah al-Anbiya’ Ayat 107: “Dan kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.” Oleh itu, dalam tetap berpegang teguh kepada akidah Islam, marilah kita bersama-sama mewujudkan keharmonian dan meraikan kepelbagaian sesama kita sebagai sebuah masyarakat Malaysia MADANI yang hidup dalam aman dan damai.

WhatsApp
Scroll to Top