KUALA LUMPUR, 14 Jan (IKIM) – Pendekatan dakwah di Malaysia perlu terus diperkasakan sebagai pemangkin perubahan menyeluruh dalam masyarakat, merangkumi aspek pembinaan jiwa, akhlak dan daya tahan umat dalam mendepani cabaran sosial semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata kepentingan dakwah sebagai panduan kepada masyarakat untuk membuat pilihan yang terbaik, khususnya dalam membina sahsiah, akhlak dan jati diri berlandaskan garis panduan yang telah ditetapkan.
“Dakwah bukan sekadar penyampaian, tetapi ia bertujuan membangkitkan perubahan ke arah yang lebih baik dalam semua sektor kehidupan, selari dengan tuntutan al-Quran dan ajaran Islam,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Konvensyen Dakwah Negara di sini hari ini.
Program anjuran Pertubuhan Salwa Malaysia (Salwa) dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) ini turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua YADIM, Prof. Madya Dr. Adi Anuar Azmin; Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman; dan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.
Beliau berkata, Malaysia berada dalam kedudukan yang bertuah kerana landskap dakwah di negara ini berkembang subur hasil peranan aktif tokoh-tokoh agama, pendakwah serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang komited menyuburkan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat.

Dalam konteks pembangunan generasi masa hadapan, Dr. Zulkifli mengajak semua pihak untuk bersama-sama memikirkan kaedah terbaik membimbing generasi muda agar hala tuju kehidupan mereka sentiasa selari dengan ajaran al-Quran, sunnah dan nilai-nilai Islam.
Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan mempelbagaikan pendekatan dakwah agar tidak terhad kepada kaedah tradisional semata-mata, sebaliknya memanfaatkan kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan platform digital bagi menarik minat golongan muda.
“Pendekatan berbeza dalam dakwah bukan bermaksud mengubah prinsip, tetapi memperluaskan kaedah agar mesej Islam dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan relevan,” jelasnya.
Mengulas tema konvensyen, “Dakwah Mendepani Isu Sosial Umat”, beliau menyifatkannya sebagai tepat pada masanya, memandangkan dakwah hari ini tidak lagi boleh bersifat satu hala atau sekadar retorik di mimbar.

Beliau turut menegaskan bahawa strategi dakwah perlu berpaksikan Maqasid Syariah serta dilaksanakan secara berhemah bagi melahirkan masyarakat yang bukan sahaja memahami hukum-hakam Islam, malah memiliki ketahanan moral dan spiritual dalam menghadapi krisis akhlak.
Konvensyen itu menghimpunkan pendakwah, aktivis masyarakat serta pemain industri dakwah bagi membincangkan pendekatan dan strategi memperkukuh peranan dakwah dalam menangani isu sosial umat secara holistik.
Jurugambar: Fathulmungin Mohd Yusof




