PUTRAJAYA, 24 Julai (IKIM) – Penceramah Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI)bukan hanya pendidik, tetapi da’i dan murabbi keluarga masa depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata penceramah MBKPI ini perlu membimbing anak muda membina bahtera kehidupan dengan nilai serta pendekatan yang dibawa mesti sarat dengan ilmu, hikmah dan kasih.
“Dalam konteks ini, peranan penceramah MBKPI amat penting dalam memindahkan nilai, ilmu dan pemikiran syariat kepada bakal pasangan suami isteri. Pendidikan praperkahwinan bukan semata-mata sesi ceramah, ia adalah jambatan awal membina keluarga berprinsip dan berdaya tahan,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Penceramah Kursus Praperkahwinan Islam Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Sehingga kini, seramai 1674 penceramah Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) yang berdaftar dan aktif menerusi Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) yang menjadi tulang belakang dalam membina keluarga Muslim yang kukuh dan sejahtera.

Mohd Na’im berkata berdasarkan trend semasa, semakin banyak isu berkaitan perkahwinan muda, penceraian, keganasan rumah tangga dan pertikaian hak penjagaan anak yang timbul.
Maka kata beliau kesemua ini menuntut supaya bakal pasangan didedahkan dengan ilmu perundangan Islam yang jelas, praktikal dan bersifat melindungi.
“Kefahaman undang-undang syariah seperti berkaitan pertunangan, pendaftaran perkahwinan, hak nafkah, hadhanah dan wali enggan, perlu diperjelas agar masyarakat tidak hanya tahu akad, tetapi tahu menjaga dan memelihara hak perkahwinan secara menyeluruh,” tambah beliau.
Beliau berkata penceramah perlu memiliki celik undang-undang agar setiap perkongsian tidak sekadar menyentuh emosi, tetapi mengukuhkan kefahaman hukum dan meningkatkan kesediaan bakal pasangan dalam membina rumah tangga yang patuh syariah dan undang-undang.
Konvensyen yang membawakan tema “Celik Undang-undang, Penceramah Lebih Cemerlang” itu menampikan Prof. Madya Dr. Hasnizam bin Hashim dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Tuan Mohd Ihsan bin Mohammad Daud dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Negeri Sembilan sebagai penceramah jemputan.
Modul MBKPI yang merangkumi peruntukan berkaitan wali, nafkah, penceraian dan lain-lain sebenarnya adalah manifestasi maqasid dalam konteks kontemporari, menjadikan tugas penceramah sangat strategik untuk menyampaikan bukan sekadar teori, tetapi jalan hidup beragama dan bernegara.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.