Penambahbaikan Sistem Pendidikan Islam

PROFESOR Madya Dr. Khalif Muammar A.Harris, Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam dan Peradaban UTM (CASIS-UTM) dalam rancangan Tarbiyyah di radio IKIMfm yang bersiaran setiap Jumaat jam 10.15 pagi baru-baru ini telah membincangkan berhubung dengan penambahbaikkan sistem pendidikan Islam. Sebelum berbicara lebih lanjut kita perlu terlebih dahulu memahami apakah tujuan pendidikan dalam Islam itu. Ianya tidak ubah seperti “niat” dalam solat, tanpa niat maka solat itu tidak sah. Begitu juga dengan “niat” pendidikan itu kena jelas iaitu untuk melahirkan manusia yang soleh dan beradab. Inilah niat utama pendidikan dalam Islam dan jika kita gagal memfokuskan kepada niat asal ini maka pendidikan akan menjadi tersasar dari matlamat sebenar.

Pendidikan Islam pada hari ini masih banyak yang boleh dibuat penambahbaikkan walaupun sudah banyak universiti-universiti dan institusi pendidikan dan sekolah-sekolan yang menggunakan nama Islam. Kita tidak mahu hanya sekadar menggunakan jenama “Islam” tetapi hakikat dan matlamat pendidikan Islam yang sebenar itu tidak tercapai. Kritikan dan muhasabah terhadap sistem pendidikan Islam hari ini banyak dibuat bertujuan untuk menambahbaik kepada sistem yang sedia ada. Ini merupakan suatu yang lumrah. Bahkan dalam sistem pendidikan Barat itu sendiri banyak mengkritik pendidikan Barat yang melihat bahawa pendidikan sudah lari daripada matlamat asal pendidikan itu sendiri yang mereka bina pada asalnya. Malangnya, masyarakat Islam hari ini cenderung untuk mengimpot apa sahaja idea-idea dari Barat sedangkan dalam masyarakat Barat sendiri idea-idea itu sedang dikajisemula dan dibuat penambahbaikkan. Sebaiknya, umat Islam merujuk kepada para ulama dan sarjana Islam sendiri dalam membina konsep pendidikan yang unggul dan bukannya melihat kepada idea-idea Barat yang sudah ditolak oleh masyarakat mereka sendiri.

Di Barat sendiri sudah mula menolak sistem yang menekankan kepada penguasaan maklumat dan data atau apa yang sering disebut sebagai “exam-oriented”. Di negara kita juga kini mula menyedari bahawa pendidikan tidak boleh semata-mata menumpukan kepada penguasaan data dan maklumat sahaja, tetapi perlu ada dimensi lain yang turut diberi penekanan iaitu akhlak dan sakhsiah yang perlu diberi penekanan kepada para pelajar. Tidak memadai jika kita sekadar berpuas hati keputusan peperiksaan yang mempamerkan sekian banyak “A”, atau CGPA yang tinggi sahaja, tetapi bagaimana dengan akhlak dan sakhsiah pelajar terbabit yang tidak diterjemahkan dalam keputusan tersebut? Adakah dia menjiwai apa yang dia pelajari itu atau tidak? Kelemahan ini wujud hingga ke peringkat universiti apabila universiti tidak lagi mengajar matapelajaran akhlak konon dengan andaiannya persoalan akhlak telah selesai di peringkat sekolah sahaja sedangkan persoalan akhlak itu merupakan pembelajaran yang berterusan hingga akhir hayat. Pendidikan akhlak itu penting agar ia mampu mengubah peribadi pelajar menjadi orang yang beradab, bukan sekadar individu yang menguasai maklumat dan data yang banyak.  Sementara keputusan dan sijil akademik yang cemerlang mungkin boleh menjamin seseorang itu memperoleh jawatan dan kerjaya yang hebat, namun ia tidak semestinya mampu membawanya mencapai kebahagian hidup di dunia dan di Akhirat. Akhlak yang baik pada seseorang akan membantu kehidupan duniawinya juga dengan menjadikannya seorang pegawai yang berdisiplin dan berintegriti, dan dalam aspek keluarga sebagai seorang suami atau isteri yang bertanggungjawab, manakala di Akhirat nanti mendapat ganjaran Syurga oleh Allah SWT.

Oleh kerana itu, Hujjatul Islam Imam al-Ghazali mengarang kitab Ihya’ Ulumiddin agar umat Islam bukan sekadar menguasai ilmu yang bersifat fardhu kifayah sahaja seperti ilmu sains dan lain-lain tetapi juga penguasaan akhlak. Kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali itu tiada lain melainkan membicarakan berhubung dengan akhlak yang meliputi penyakit-penyakit hati dan bagaimana kaedah terbaik untuk membersihkan hati daripada segala sifat-sifat Mazmumah (tercela) dan menghiasi dengan sifat-sifat Mahmudah (terpuji). Inilah juga matlamat Nabi SAW diutuskan sepertimana mafhum Sabda Baginda SAW:

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak” (HR al-Bukhari)

Aspek ini sebenarnya tidak diberikan penekanan oleh Barat dan apabila kita mengikut model pendidikan Barat, maka kesilapan yang sama kita ulangi sepertimana yang dilakukan oleh masyarakat Barat.

Seperkara lagi ialah sistem pendidikan umumnya hari ini dilihat sebagai tempat melahirkan tenaga kerja bagi memenuhi pasaran kerja sesebuah negara. Ini turut diresapi dan terikut-ikut dalam sistem pendidikan yang dikatakan “pendidikan Islam” di mana ianya turut dilihat bersifat duniawi dan bukannya ukhrawi yang bertujuan melahirkan mereka yang beradab, insan yang soleh dan muslih yang mampu menjadi ejen perubah dalam masyarakat kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 Disember 2016
\"2016-12-16\"
WhatsApp
Scroll to Top