PEMIMPIN MASA DEPAN PERLU KUASAI AL-QURAN DAN PROFESIONALISME – MENTERI AGAMA

KUALA LUMPUR, 8 Dis (IKIM) – Al-Quran tidak seharusnya dilihat sekadar kitab untuk dibaca, tetapi panduan hidup yang mesti dihayati, dilaksanakan dan diintegrasikan dalam setiap aspek kehidupan serta struktur masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar. 

Beliau menyeru setiap ketua dalam semua sektor sama ada korporat, perkhidmatan awam, pendidikan mahupun industri agar menjadikan al-Quran sebagai asas kepada hala tuju organisasi.

“Bayangkan seorang Ketua Pegawai Eksekutif mampu menyampaikan khutbah Jumaat kepada warga syarikat, membimbing mereka bukan hanya dari sudut prestasi, tetapi dalam nilai, etika dan kesedaran kerohanian. Ini bukan impian idealistik, tetapi keupayaan yang perlu kita pupuk demi masa depan ummah,” kata beliau. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Konvensyen Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2025 di sini semalam.  

Menurut beliau, Gerakan Saff 12 menjadi platform strategik untuk memperdalam kefahaman al-Quran sambil mewujudkan kesepaduan antara hikmah wahyu dengan ilmu sains dan kepakaran dunia moden.

“Melalui Saff 12, kita boleh menyelami al-Quran lebih mendalam, dan menggabungkannya secara harmoni dengan sains dan kepakaran profesional dalam kehidupan manusia,” tambah beliau. 

Beliau berkata negara memerlukan lebih ramai jurutera, pengurus dan pemimpin yang bukan sahaja menghafal al-Quran dan memahami fiqh, tetapi juga mampu menjadi imam masyarakat, penasihat agama, sambil memimpin inovasi dalam bidang masing-masing.

Dalam ucapannya kepada para penginovasi dan pencipta, beliau mengingatkan bahawa prinsip utama yang menggerakkan kemajuan ialah konsep “Daripada Wahyu Kepada Inovasi”.

Dalam pada itu beliau turut  berkata gerakan ini bukan sahaja mengimarahkan kefahaman al-Quran, tetapi berperanan sebagai landasan strategik untuk menyokong agenda pembangunan halal negara.

“Gerakan Saff 12 ini selaras sepenuhnya dengan visi halal kebangsaan, kerana halal bukan sekadar logo, tetapi salah satu manifestasi paling praktikal nilai ekonomi al-Quran,” katanya ketika berucap.

Beliau menegaskan, halal berakar daripada wahyu, berpandukan Surah Al-Mā’idah ayat 3, yang mengangkat halal daripada sekadar isu pematuhan teknikal kepada satu bentuk amanah, tanggungjawab dan tadbir urus bermoral.

Foto: FB Dato’ Setia Dr. Na’im

WhatsApp
Scroll to Top