PEMERKASAAN PERUNDANGAN SYARIAH ANTARA PERKONGSIAN KETIKA KUNJUNGAN IMAM MASJID NABAWI KEPADA MENTERI AGAMA

PUTRAJAYA, 7 Ogos (IKIM) – Pertemuan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar bersama Imam Masjid Nabawi Madinah Sheikh Dr Salah bin Muhammad Al Budair petang tadi  berkesempatan berkongsi pandangan berkaitan pemerkasaan institusi perundangan syariah. 

Mereka antara lain turut berkongsi tentang pengurusan masjid, inisiatif dakwah digital dan program komuniti yang memberi impak positif kepada ummah.

“Saya amat berbesar hati atas kunjungan penuh makna Sheikh Dr Salah bin Muhammad Al Budair, Imam Masjid Nabawi Madinah ke pejabat saya di Kompleks Islam Putrajaya petang tadi,” kata beliau.

Mohd Na’im berkata demikian ketika menyambur kunjungan Dr. Salah bersama rombongan sebelum turut sama menaiki cruise di Tasik Putrajaya, di sini hari ini.

Kehadiran beliau disambut dengan penuh mahabbah oleh seluruh warga jabatan menzahirkan semangat silaturahim.

Mohd Na’im berkata pertemuan atas semangat ukhuwah itu bagi memperkasa peranan institusi keagamaan dalam era moden serta menjalin satu visi bersama demi kesejahteraan masyarakat.

“Semoga pertemuan ini bukan sekadar memori tetapi menjadi titik permulaan usaha sama jangka panjang demi kemajuan dakwah, pendidikan dan khidmat masyarakat,” tambah beliau. 

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Dato’ Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Mohd Ajib Ismail.

WhatsApp
Scroll to Top