PEMENANG UTAMA KEMPEN SIMPANAN TABUNG HAJI 2024 TERIMA PAKEJ UMRAH

KUALA LUMPUR, 9 Mei (IKIM) – Lembaga Tabung Haji (TH) telah meraikan para pemenang utama Kempen Simpanan TH 2024 dalam satu majlis penyampaian hadiah di Menara TH, di sini pada 21 April lalu.

Menurut Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab, kempen simpanan TH ini merupakan inisiatif tahunan bagi menggalakkan masyarakat Islam menyimpan secara konsisten, mengurus kewangan secara berhemah dan menabung untuk simpanan haji.  

Melibatkan lima kempen utama iaitu Kempen Al-Falah; Carum & Simpan; Auto Simpan @ THiJARI FPX; Bijak Menabung; dan Terpaling Sayang, seramai 715 pemenang dipilih daripada kalangan pendeposit yang menyertai kempen tersebut pada cabutan akhir yang berlangsung pada 25 Februari lalu.

Seramai 31 orang pemenang utama telah menghadiri majlis berkenaan. Antara yang mencuri tumpuan ialah Norehan Manab yang memenangi hadiah utama pakej umrah dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM 20,000.00 untuk Kempen Al-Falah.

Norehan berkata hadiah yang diterimanya ini satu rezeki yang amat bermakna. 

“Saya menabung di Tabung Haji sejak sekian lama dan tidak sangka akan dipilih. Ini benar-benar rezeki daripada Allah berkat menyimpan di TH secara konsisten. Terima kasih Tabung Haji atas peluang dan penghargaan ini,” katanya.

Bagi kempen Carum & Simpan, pakej umrah bernilai RM 10,000.00 telah dimenangi oleh Hairol Azman Mohamad Anuar. Pemenang Kempen Auto Simpan @THiJARI, Mohammad bin Ali, juga memenangi pakej umrah.

Selain itu, Muhammad Naufal Mohd Nasrul berjaya memenangi sebuah iPad Air menerusi Kempen Bijak Menabung, manakala Nor Azira Shabiren pula menerima hadiah pakej percutian domestik bernilai RM 500 menerusi Kempen Terpaling Sayang.

Mohamed Ameen berkata kempen ini terbuka untuk pendeposit sedia ada dan baharu yang membuat simpanan minimum tertentu dalam tempoh yang ditetapkan.

“TH akan terus menggalakkan tabungan dan simpanan haji kepada para pendeposit menerusi pelbagai kempen dan inisiatif strategik pada tahun ini, dengan menawarkan perkhidmatan simpanan yang selamat dan patuh syariah.” 

“Pada masa sama, TH juga komited untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menabung dan pengetahuan kewangan dalam kalangan umat Islam di Malaysia,” jelas beliau.

Turut hadir, Datin Normimy Mohamed Noor, Pengurus Besar Komunikasi Pemasaran dan Khidmat Pelanggan.

Oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz

WhatsApp
Scroll to Top