Putarajaya, 11 Okt (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar hari ini melancarkan majlis pelepasan Program Jelajah Peduli Ummah anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Program yang dilancarkan hari ini merupakan inisiatif besar melibatkan gabungan kerjasama pelbagai agensi iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan ZUS Coffee.
Dalam ucapan pelancaran, Mohd Na’im berkata program ini akan memulakan jelajah pada bulan Oktober 2024 hingga bulan Februari 2025 yang melibatkan beberapa buah negeri termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan.
Majlis pelepasan turut dihadiri Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee; Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr. Ridzwan Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr. Sani Araby Dato’ Abdul Alim Araby; Timbalan Presiden ZUS Coffee, Stephy Foong dan Faizal Tahir.
Mohd Na’im turut menyatakan program ini adalah simbolik kepada solidariti rakyat Malaysia dan selaras dengan semangat “Sejahtera Insan Al-Falah” yang mencerminkan kebajikan dan kesejahteraan untuk semua lapisan Masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, dengan matlamat utama adalah menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf, B40, pelajar, anak yatim, orang tua, orang asli serta mangsa banjir yang memerlukan perhatian khusus.
Sepanjang program jelajah ini terdapat beberapa pengisian utama yang akan dilaksanakan iaitu Misi Ummah Bantu Ummah, Karnival Peduli Ummah, Majlis Selawat dan Solat Hajat, Ziarah Musa’adah Dakwah dan Jiwa Murni Al-Falah serta Misi Bantuan Asnaf dan Anak Yatim.
Terdahulu Mod Na’im melawat aset-aset bantuan kecemasan MAPIM yang akan digunakan dalam misi jelajah ini.