PELBAGAI INISIATIF DIUMUMKAN PERDANA MENTERI DALAM “PENGHARGAAN UNTUK RAKYAT MALAYSIA”. 

KUALA LUMPUR, 23 Julai (IKIM) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelbagai inisiatif dalam siaran khas “Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia” antaranya 15 September ini sebagai hari kelepasan am tambahan sempena Sambutan Hari Malaysia tahun ini.

Pengumuman itu dibuat sebagai tanda penghargaan terhadap semangat perpaduan dan keistimewaan pembentukan negara Malaysia, yang terbina atas usaha gigih pemimpin terdahulu.

“Langkah ini diharap dapat menyemarakkan lagi semangat ukhwah dan perpaduan rakyat, selain mengingatkan kita terhadap kehebatan tokoh bangsa yang menggerakkan pembentukan Malaysia,” kata Perdana Menteri dalam pengumuman khas ‘Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia’ yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran televisyen utama dan platform media sosial.

Sementara itu beliau berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya utama di seluruh negara dalam usaha meringankan beban rakyat serta mengekalkan kadar sedia ada.

Anwar berkata, langkah ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat, terutama ketika berdepan tekanan kos sara hidup.

Antara lebuh raya yang terlibat termasuk Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).

“Penangguhan ini akan melibatkan implikasi kewangan lebih RM500 juta yang akan ditanggung oleh kerajaan,” tambah beliau. 

Difahamkan, kesemua 10 lebuh raya tersebut sepatutnya mengalami pelarasan kadar tol tahun ini, namun keputusan penangguhan diambil sebagai langkah prihatin terhadap bebanan pengguna jalan raya.

Pelbagai inisitaif lain turut diumumkan Perdana Menteri antaranya sebanyak 85 peratus pengguna domestik nikmati penurunan bil elektrik Julai 2025 bagi penggunaan yang sama berbanding separuh pertama 2025 iaitu sehingga 14 peratus. 

Selain itu katanya, rakyat Malaysia akan menikmati harga subsidi RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter apabila subsidi diperkenalkan, yang bakal memanfaatkan sekitar 18 juta pengguna. 

“Setiap warganegara berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 secara one-off melalui MyKad di bawah SARA,” katanya lagi. 

Antara inisiatif lain Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempercepat pengisian 4,352 jawatan termasuk doktor kontrak di seluruh negara menjelang akhir 2025. 

Beliau turut berkongsi pencapaian negara yang melonjak 11 anak tangga ke kedudukan 23 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025. 

WhatsApp
Scroll to Top