DALAM rancangan Tarbiyah di radio IKIMfm jam 10.15 pagi setiap Jumaat, Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A.Harris, Pensyarah di CASIS-UTM merangkap Felo Utama IKSIM berbicara tentang pandangan hidup Islam secara komprehensif. Untuk episod kali ini beliau berbicara tentang pelampau agama.
Sebelum kita mengenali tentang pelampau agama, kita perlu faham dan mengerti terlebih dahulu apakah sifat agama Islam itu sendiri. Agama Islam itu merupakan agama yang sifatnya rahmat dan Nabi Muhammad SAW itu sendiri diutus sebagai rahmat untuk sekalian alam. Sifat agama Islam itu berkasih sayang sesama umat Islam dan tegas dengan orang bukan Islam. Umat Islam itu sifatnya bersaudara antara satu sama lain dan banyak lagi maksud ayat-ayat al-Qur’an yang merujuk kepada hal yang sedemikian. Agama Islam sehubungan itu sepatutnya ditonjolkan sebagai agama yang merujuk kepada ramah, kasing sayang, lemah lembut dan bukannya agama yang bengis, kaku yang mengajak kepada peperangan, pertelagahan dan saling membenci sesama Islam dan bukan Islam. Begitu juga, semangat kelompok yang kuat ditonjolkan hingga menolak kelompok yang lain. Ini sebenarnya bukan sifat yang dianjurkan oleh ajaran Islam.
Satu lagi sifat yang dianjurkan oleh agama Islam ialah sifat Wasatiyyah. Wasatiyyah bukan bermaksud pertengahan tentang bermaksud adil. Adil pula bukan merujuk kepada neutral atau tidak berpihak kepada mana-mana pihak tetapi adil ialah merujuk kepada berpihak dengan kebenaran. Orang yang adil akan menilai sesuatu perkara secara menyeluruh dengan mengambil kira segala maklumat yang ada secara komprehensif kerana dengan bertindak sedemikian baharulah dia mampu bersikap berpihak kepada kebenaran. Dua aspek asas ini merupakan aspek yang penting dan utama untuk difahami oleh kita semua iaitu sifat agama Islam yang pertama rahmat dan berkasih sayang dan kedua, adil.
Setelah kita mengerti itu sifat agama Islam maka mudahlah kita mengerti bahawa apabila kita menemui ayat-ayat al-Qur’an dan al-Hadith yang menyuruh tentang jihad, membunuh orang kafir dan seumpamanya ianya perlu kita fahami dalam konteks yang sebenar, iaitu dalam konteks peperangan dan bukannya dalam konteks harian dan kebiasaan.
Kita perlu fahami Islam itu membawa obor pembaharuan, keamanan dan kalau pun ada arahan-arahan dalam ayat-ayat al-Qur’an untuk berperang ianya lebih kepada arahan demi mempertahankan diri dan bukannya arahan umum dalam keadaan biasa.
Kelompok pelampau yang wujud pada hari ini telah mengambil ayat-ayat al-Qur’an dan Hadith yang diturunkan pada waktu peperangan untuk digunakan dalam konteks harian dan kebiasaan yang aman. Ini merupakan salahtafsir terhadap maksud sebenar ayat-ayat al-Qur’an tersebut yang digunakan di luar konteks yang sepatutnya.
Kelompok pelampau ini wujud sejak awal Islam lagi bahkan Baginda SAW sendiri memberi isyarat awal berhubung dengan di mana Baginda SAW menyebut dengan mafhumnya, “Wahai manusia, Awas! daripada pemikiran melampau dalam agama kerana telah binasa mereka sebelum kamu kerana melampau dalam agama” (HR Ahmad, Nasaie, Ibn Majah)
Konsep ekstremisme atau pelampau agama itu telah ada sejak zaman Baginda SAW lagi sepertimana yang dituturkan oleh lidah yang mulia itu tadi. Sepertimana kita berbicara sebelum ini Islam tidak mendewakan akal sepertimana ekstrem kiri, dan Islam juga bukan agama yang menolak akal sepenuhnya iaitu ekstrem kanan. Islam ialah agama yang Wasatiyyah di mana penerimaan akal itu perlu diletakkan di tempatnya iaitu dengan dibatasi atau dihadkan dengan selama mana tidak menyalahi apa yang disebut oleh al-Qur’an dan al-Hadith Baginda SAW.
Perkara yang juga wujud di zaman Baginda SAW sendiri ialah apabila ada di kalangan Sahabat RA yang cuba bertindak “melampau” dalam agama melebihi apa yang dilakukan oleh Baginda SAW dengan alasan Baginda SAW itu seorang yang maksum, yang tidak berdosa dan jika ada kesalahannya yang lampau dan akan datang semuanya diampunkan oleh Allah SWT. Lalu mereka berpendapat ibadah mereka itu perlu lebih baik daripada Baginda SAW. Seorang berkata, aku akan berjaga malam sepanjang malam setiap malam tanpa tidur, yang seorang lagi mengatakan aku akan berpuasa sepanjang hari, dan seorang lagi mengatakan aku akan membujang seumur hidup. Apabila perkara ini sampai kepada Baginda SAW, Baginda SAW memanggil mereka bertiga dengan mengatakan bahawa “adakah kamu mengatakan begini dan begini, demi Allah akulah orang yang paling takutkan Allah, tetapi aku berpuasa dan aku berbuka puasa, aku bangun malam tetapi aku juga tidur, aku mengahwini wanita, dan barangsiapa yang menolak Sunnah aku maka dia bukan daripada golonganku”.
Inilah pesanan Baginda SAW agar kita jangan melampau dan berlebih-lebihan dalam apa sahaja hatta dalam ibadat sekalipun dengan kita mengikut contoh tauladan yang ditunjukkan oleh Baginda SAW sebagai teladan yang terbaik.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 30 September 2016