BANGI, 13 Nov (IKIM) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pelajar pengajian Islam di Insititusi Pengajian Tinggi (IPT) agar memperkasa peranan mereka dengan menguasai bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, tenaga dan semikonduktor bagi memastikan pendidikan Islam terus relevan dalam dunia pasca-digital.
Berucap merasmikan Konvensyen Pengajian Islam Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini, Anwar menegaskan bahawa sistem pendidikan Islam perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi global serta menyumbang kepada pembangunan negara.

“Kalau nak jadi benteng pertahanan umat, kena sedia terima beberapa disiplin baharu. Dalam kurikulum itu perlu dimasukkan kemahiran AI, digital dan soal tenaga,” katanya.
Menurut Anwar, perubahan pesat dalam dunia teknologi menuntut pelajar dan institusi pengajian Islam untuk menyesuaikan diri dengan paradigma baharu ilmu yang lebih bersifat multidisiplin.
“Kita tidak boleh ikut langkah lama kerana dalam masa setahun, perubahan AI itu sudah tiga kali ganda,” katanya sambil menyarankan supaya fakulti pengajian Islam memperkenalkan resipi baharu yang menggabungkan pengetahuan agama dan teknologi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penguasaan terhadap teknologi baharu tidak hanya penting untuk kemajuan ekonomi negara, tetapi juga bagi memperkukuh sistem pendidikan Islam agar mampu melahirkan generasi ilmuwan yang berfikiran kritis, berakhlak tinggi dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Pendidikan ini untuk menyemai semangat dan kesedaran, kecintaan kepada ilmu ma‘arifah itu untuk kita yakin dan kita amalkan. Kalau anak-anak kita bertekad benar-benar menguasai ilmu, memperbaiki akhlak dan menjurus ke arah menyelamatkan keluarga serta negara, itu satu permulaan yang baik,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan bersedia membantu fakulti pengajian Islam dengan menyediakan kemudahan komputer, latihan teknologi serta kerjasama dengan sektor swasta bagi memperkukuh kebolehpasaran graduan.

“Kalau boleh ditingkatkan, kita bantu sedaya mungkin supaya ada jaminan pekerjaan dan peluang ke sektor swasta,” ujar beliau.
Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia mesti bergerak pantas untuk menjadi hab semikonduktor dan teknologi digital serantau, dengan dasar yang jelas serta pelaksanaan yang cepat dan berkesan.
“Kita tidak boleh terlambat. Malaysia mesti menjadi hab semikonduktor dan mesti kejar dengan cara yang sangat pantas untuk menguasai teknologi baharu digital dan kecerdasan buatan,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa kestabilan politik negara membolehkan dasar semikonduktor dilaksanakan dengan lancar, selain menjamin hubungan perdagangan kukuh dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China.
Anwar dalam pada itu turut mengingatkan golongan ilmuwan dan pelajar pengajian Islam untuk meneladani semangat pembaharuan dan menekankan pentingnya umat Islam berakar pada nilai agama sambil maju dengan ilmu pengetahuan baharu.
Konvensyen yang menghimpunkan lebih 500 peserta termasuk ahli akademik, ilmuwan dan pelajar dari dalam serta luar negara bagi membincangkan hala tuju baharu pengajian Islam dalam era digital.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar, Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dan Ketua Pengarah Institut kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.
Foto: Fathulmungin Mohd Yusof




