KUALA LUMPUR, 1 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata golongan pekerja adalah pemangkin utama dalam mencipta sebuah negara hebat dan berdaya saing.
Beliau berkata setiap individu yang bekerja, sama ada di kilang, jabatan kerajaan, klinik, sekolah, balai polis atau mana-mana sektor, memainkan peranan penting dalam menggerakkan perubahan dan mencatat kejayaan negara.
“Negara ini masih berdepan pelbagai cabaran. Hari-hari kita dihadapkan dengan isu besar seperti krisis di Palestin dan ketidaktentuan global, termasuk tindakan sesuka hati kuasa besar seperti Amerika Syarikat.
“Namun, kita tetap mampu mara jika semua bekerja dengan tekun, ikhlas dan penuh iltizam. Tidak kira sektor mana, pekerja yang berpegang kepada nilai keikhlasan dan kepercayaan kepada negara pasti menyumbang kepada pembentukan negara hebat,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata demikian dalam amanat khas pada sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Anwar berkata Kerajaan MADANI juga bertekad untuk terus mengangkat martabat pekerja di negara ini ke tahap yang jauh lebih baik, tanpa mengira latar belakang kaum, warna kulit atau kepercayaan agama.
Beliau turut mengingatkan golongan pekerja supaya tidak membenarkan unsur perpecahan yang berpunca daripada perbezaan kaum dan fahaman politik terus menghantui negara ini, seterusnya menghalang kepada produktiviti dan perkhidmatan.
“Saya dan kerajaan komited untuk membela nasib semua pekerja walaupun majoritinya dalam kalangan orang Melayu, nasib anak-anak Cina, India, Dayak dan Kadazan-Dusun juga tidak boleh dipinggirkan. Jangan hanya santuni golongan atasan, tetapi wajib semua pekerja pelbagai peringkat hingga bawahan.
“Hari-hari kita membaca berita tentang perselisihan antara kaum, ini tidak akan membawa kita ke mana. Sebaliknya, kefahaman, perpaduan dan semangat kebersamaan antara rakyat pelbagai kaum adalah kunci untuk membawa negara ke arah kemajuan yang lebih besar,” katanya.
Pada majlis itu, Anwar turut melancarkan kad Pekerja MADANI dan Aplikasi telefon pintar MyFutureJobs.
Sumber : BERNAMA