KUALA LUMPUR, 24 November (IKIM) – Program 2 Tahun Kerajaan Madani yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, membuka tirai Jumaat lalu dan akan melabuhkan tirainya petang nanti merupakan platform terbaik rakyat Malaysia untuk melihat sendiri hasil pencapaian kerajaan bagi tempoh dua tahun.
Bertemakan ‘MADANI di Hati, Rakyat Disantuni’, program ini juga merupakan medan kepada jabatan kerajaan dan agensi berkongsi segala maklumat berkaitan inisiatif yang telah dijalankan sepanjang 2 tahun pentadbiran Kerajaan Madani.
Program yang memberi ruang kepada rakyat untuk lebih memahami usaha dan inisiatif Kerajaan MADANI ini turut menampilkan Pavilion Al-Falah menggabungkan agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus berusaha bersungguh-sungguh menggerakkan agenda Membangun Malaysia Madani dan memperkukuh penghayatan umat Islam menuju Al-Falah dalam segenap bidang termasuk perpaduan masyarakat.
“Dengan semangat syura dan musyawarah, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan bergerak bergandingan menyebarkan rahmah kepada masyarakat,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook semalam.
Menerusi Pameran Pavilion Al-Falah pelbagai peluang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat antaranya khidmat nasihat kekeluargaan, klinik nasihat perundangan syariah, daftar THijari, semak status Halal dan pelbagai program lagi.
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) tidak ketinggalan menyediakan pelbagai peluang kepada pendengar radionya, IKIMfm berkenalan dengan para penyampai serta mengikuti pelbagai perkhidmatan dan produk yang disediakan oleh IKIM.
Semalam, Mohd Na’im turut berkesempatan melancarkan Gagasan Kalimah Tayyibah yang akan bersiaran di TV Alhijrah bersama satu aplikasi yang dinamakan sebagai Al-Falah Super Apps.
Turut hadir pada program tersebut Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.