Para Anbiya’ Saintifik

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): \”Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (Surah Ali-‘Imran, 128). Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman, memulakan pertemuan dengan membacakan ayat daripada surah Ali-‘Imran menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu. Ustaz berkongsi mengenai tajuk ‘Para Anbiya Saintifik’.

Saintifik itu sikap seseorang yang meneliti pada apa yang dilihat di hadapan matanya. Ayat yang dibacakan oleh ustaz menggambarkan sikap para anbiya’ dan orang mukmin. Apabila mereka melihat alam sekitar, mereka bukan semata-mata melihat tetapi mereka akan memerhatikan dengan teliti. Sains itu adalah satu pemerhatian. Apabila mereka melihat kejadian langit dan bumi lalu mereka berkata, Ya Allah, Engkau tidak menciptakan kejadian ini sebagai satu yang sia-sia. Pasti ada sesuatu yang ingin disampaikan daripada alam ini kepada kita.

Orang yang beriman akan menjadikan diri mereka sebagai saintis. Apabila mereka melihat penciptaan alam, mereka mendapati setiap kejadian itu tunduk pada aturan yang sama, yang diciptakan oleh Allah SWT. Orang yang beriman akan berfikir, sekiranya setiap sesuatu itu mengikut aturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Maka, begitu jugalah kita, mesti patuh dan ikut akan aturan yang telah ditetapkan. Sekiranya kita ingkar, maka azab Allah SWT akan menanti kita.

Kerana itulah para anbiya’, mereka sangat saintifik dalam penyampaian mereka. Mereka bukan sekadar menyampaikan dakwah dan agama daripada dalil-dalil ayat al-Quran semata-mata bahkan turut membawa dalil-dalil akal kepada khalayaknya. Para anbiya’ apabila menyampaikan sesuatu kepada manusia, mereka adalah penyampai yang terbaik. Mereka ada kualiti komunikasi yang terbaik dan antara cara penyampaian terbaik adalah membawakan fakta dalam penyampaian.

Sebagai contoh, Nabi Nuh AS yang hidup lebih kurang 5000 tahun dahulu saat kecanggihan teknologi tidak lagi tercipta, Baginda mampu untuk bercakap tentang apa yang ada di dalam rahim seorang ibu, bahkan boleh berbicara tentang apa yang ada di hadapan kaumnya. Ini disebutkan di dalam surah Nuh ayat 13 dan 14 yang bermaksud : \”Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya), – \”Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?.  Sedarlah kita bahawa para anbiya’ bercakap dengan bukti-bukti yang pada hari ini kita sebut sebagai sains.

Begitu juga dengan Nabi Salleh AS ketika berdakwah kepada kaumnya, Kaum Thamud. Saat mereka menyalahgunakan kekuatan yang Allah SWT kurniakan kepada mereka, maka Nabi Salleh AS menyeru mereka dengan sesuatu yang pada hari ini kita gelarnya sebagai sains. Ayat 146 -148 surah Asy-Syu’araa yang bermaksud : \”Adakah (kamu fikir), bahawa kamu akan dibiarkan sentiasa bersenang-senang dalam nikmat-nikmat yang ada di dunia ini? – \”Di dalam taman-taman (yang indah permai), dan matair-matair (yang mengalir), \”Dan kebun-kebun tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang buah mayangnya halus lembut?.  

Merujuk kepada seruan Nabi Salleh AS ini, Baginda menyeru kaumnya dengan fakta-fakta sains dan antaranya menyebut tentang pohon kurma. Mengapa kurma dipilih berbanding banyak-banyak pohon yang ada? Ini kerana merujuk kepada hadith Baginda Nabi SAW, pohon kurma diibaratkan seperti seorang mukmin, pohon yang kuat tunjangnya dan pelepahnya. Manakala buah tamar adalah buat yang terbaik dan dapat memberi khasiat kepada tubuh badan manusia. Kebaikan tamar ini telah dibuktikan kebaikannya oleh kajian-kajian sains. Hal ini membuktikan bahawa para anbiya’ bercakap perkara-perkara fakta yang telah diketahui oleh baginda tetapi dibuktikan menerusi sains pada masa kini.

Sebagai pendakwah, kita perlu bijak dalam menyusun idea-idea dakwah kita agar khalayak kita tidak jemu dengan saranan hukum hakam semata-mata bahkan kita bawakan bersama fakta-fakta kehebatan penciptaan Allah SWT agar penyampaian kita lebih menarik.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 6 Disember 2016
\"2016-12-06\"
WhatsApp
Scroll to Top