NILAI AKHLAK MENJADI TERAS DALAM SETIAP DASAR NEGARA – PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos 2025– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa nilai akhlak dan etika mesti menjadi teras dalam setiap dasar negara, termasuk dalam agenda pendigitalan dan pembangunan teknologi moden.

Berucap ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), beliau menekankan bahawa pembinaan Malaysia MADANI tidak akan sempurna tanpa penerapan nilai-nilai agama dan adab dalam setiap aspek pentadbiran.

“Teknologi, kecerdasan buatan dan pendigitalan perlu bergerak seiring dengan asas agama dan nilai akhlak. Kita bukan sahaja mahu maju dari segi material, tetapi juga membina sebuah masyarakat yang beretika dan berjiwa,” katanya.

Beliau turut menyentuh keunikan Malaysia dalam mengangkat konsep MADANI yang meletakkan agama sebagai asas pembinaan negara. Konsep ini, jelasnya, tidak lengkap tanpa penerapan adab dan keinsafan terhadap nilai kebenaran seperti yang ditunjukkan dalam al-Quran.

“Islam datang ke bumi Nusantara ini dengan hikmah dan kelembutan, membawa cahaya petunjuk berlandaskan al-Quran. Ketika tanah ini dijajah, institusi pondok dan ulama menjadi benteng mempertahan akidah umat serta maruah agama. Ia bukan sekadar warisan, tetapi asas kekuatan bangsa,” tegasnya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengumumkan pelancaran Mushaf Umar pada 8 Ogos ini di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya. Usaha ini menjadi sebahagian daripada ikhtiar memperluas akses kepada al-Quran di dalam dan luar negara.

“Melalui projek ini, sejuta naskhah al-Quran akan dicetak dalam pelbagai bahasa dan diagihkan, termasuk ke sekolah-sekolah serta negara-negara yang saya lawati. Al-Quran adalah hadiah terbaik yang boleh kita bawa sebagai lambang rahmat dan risalah Malaysia kepada dunia,” katanya.

Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-65 ini menghimpunkan peserta dari pelbagai negara, mencerminkan peranan Malaysia sebagai pusat rujukan al-Quran yang mengangkat nilai ilmu, adab dan perpaduan sejagat.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar,; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil serta ketua-ketua agensi.

Jurugambar: Fathulmungin Mohd Yusof

WhatsApp
Scroll to Top