SETELAH manusia menemui kematian, ada lagi perjalanan yang perlu dilalui iaitu alam barzakh, hari penggoncangan alam oleh Allah, hari alam ditutup dan hari Allah membangkitkan semula manusia. Mempercayai adanya perjalanan yang dirancang Allah SWT ini merupakan sebahagian daripada keimanan yang perlu dipegang teguh oleh manusia. Beriman dengan hari Kiamat adalah salah satu daripada rukun-rukun iman dan membolehkan manusia melakukan persiapan untuk melalui saat untuk dihadapkan dihadapan Allah kelak.
Kitab yang dikarang oleh Imam al-Qurtubi Rahimallah merupakan di antara ensiklopedia kematian dan hari akhirat. Menurut Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani melalui slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada setiap Khamis, jam 5.15 petang, terdapat lebih kurang daripada 64 nama hari kiamat yang ditetapkan oleh Allah SWT. Terdapat banyak nama-nama gelaran yang merujuk kepada hari kiamat kerana di dalam bahasa arab apabila sesuatu benda banyak disebut, ia menunjukkan perkara itu sangat dahsyat atau memberi pengertian yang besar di dalam kehidupan manusia. Sebahagian ahli tafsir menyebut, Allah SWT akan membangkitkan hari kiamat pada hari Jumaat yang paling indah bentuknya bagaikan bunga yang bersinar sehingga seluruh makhluk mengenalinya.
Firman Allah di dalam Surah al-Qariah, ayat 4: “(Hari itu ialah : hari kiamat), hari manusia menjadi kelkatu yang terbang berkeliaran.” Hari tersebut merupakan hari yang menggerunkan kepada umat manusia. Manakala di dalam Surah al-Naba, ayat 40, Allah SWT menyebut: “Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), – iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)”.
Mengenali dan mengingati nama-nama hari akhirat supaya dapat kita jadikan panduan di dalam kehidupan agar terselamat daripada beberapa keadaan di padang Mahsyar nanti. Nama pertama yang merujuk kepada hari akhirat seperti yang terdapat di dalam al-Quran ialah as-Sa’ah (saat yang akan kita lalui), hari yang dinantikan dan hari yang dijanjikan. Apabila bangun di padang Mahsyar nanti, orang-orang yang melakukan kesalahan akan merasa terkejut kerana ketika hidup di dunia dahulu tidak menjangkakan dahsyatnya di padang Mahsyar Allah, mereka tercengang dan berdiri di dalam ketakutan. Firman Allah di dalam Surah al-Rum, ayat 12: “ Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan membisu serta berputus asa.”
Nama kedua ialah yaumul qiamah, iaitu hari semua manusia berdiri tegak di padang Mahsyar. Di dalam Surah al-Qiamah, ayat 1: “Aku bersumpah dengan hari Kiamat”. Ia menggambarkan manusia di dalam keadaan menunggu-nunggu dan suasana manusia akan disoal di hadapan Allah SWT, semua akan berdiri untuk mengetahui nasib mereka. Pandangan pertama daripada para ulama sebab dinamakan hari kiamat dengan yaumul qiamah kerana pada hari itu seluruh manusia berdiri di padang Mahsyar. Manakala pandangan ulama yang kedua, kerana pada hari itu seluruh makhluk dibangkitkan daripada kubur. Pandangan ulama yang ketiga ialah kerana pada hari itu seluruh manusia akan berdiri di hadapan Allah SWT tanpa mengira pangkat dan darjatnya sewaktu hidup di dunia dahulu. Ibnu Umar pernah menyebut, manusia berdiri di padang Mahsyar selama seratus tahun, dan ada riwayat lain yang menyatakan selama tiga ratus tahun. Pandangan keempat yang menerangkan tentang hari berdirinya manusia kerana seluruh roh dan malaikat berdiri bersaf-saf di hadapan Allah SWT (seolah-olah perbarisan tentera).
Jika seseorang meninggal dunia, maka telah datang kiamat kepada dirinya (kiamat kecil). Roh keluar daripada jasadnya sehingga terputus hubungan dengan keluarganya dan terputus kesempatan untuk dia menambahkan amal kebajikannya setelah kematiannya. Jika dia seorang yang baik, maka berbahagialah dirinya, tetapi jika sebaliknya, maka celakalah ke atasnya, sedangkan kiamat besar adalah kiamat yang menimpa seluruh umat manusia secara sekali gus tanpa terkecuali.
Nama ketiga bagi hari kiamat disebut juga sebagai yaumul ard, iaitu hari pembentangan. Firman Allah di dalam Surah al-Haaqqa, ayat 18: “Pada hari itu, kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal); tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi (kepada Allah) dari perkara-perkara kamu yang tersembunyi.” Ibnu Arabi berkata terdapat beberapa hadis Rasulullah SAW yang menerangkan cara perlaksanaan hari itu, di antaranya hadis diriwayatkan Ibnu Said al-Qudri, yang menceritakan Rasulullah ditanya sama ada Allah dapat dilihat di hari akhirat nanti. Baginda menjawab, “Adakah kamu semua tidak dapat melihat matahari dengan jelas pada waktu siang semasa cuaca yang cerah, tidak berawan? Adakah kamu tidak dapat melihat bulan dengan jelas pada waktu malam semasa cuaca yang cerah tanpa awan?” Mereka menjawab, “Kami dapat melihatnya, ya Rasulullah.” Lalu Baginda bersabda,” Di akhirat nanti kamu semua dapat melihat wajah Allah seperti kamu semua melihat matahari dan bulan.” Semoga kita tergolong di kalangan mereka yang dapat melihat Allah di syurga nanti. Riwayat Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda, di padang Mahsyar nanti, sesiapa yang banyak dihisab pada hari kiamat, maka dia akan diazab oleh Allah.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 23 Jun 2016