Nabi Ibrahim AS dan Kaumnya

SETIAP daripada kita dikurniakan dengan akal fikiran yang sempurna oleh Allah SWT. Cuma lebihnya, bagaimana kita menggunakan akal fikiran kita dengan sebaiknya dalam menimbang baik serta buruk sesuatu perkara. Jangan kita letakkan pertimbangan akal kita di tempat yang salah. Gunakan ia dalam kita meraih redha Allah SWT dan bukan sebaliknya.

Melalui segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu, Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman berkongsi kisah bagaimana Nabi Ibrahim AS berhadapan dengan kaumnya yang degil dan tidak mahu menyembah Allah SWT. Ustaz Syaari turut berkongsi bagaimana kecerdikan akal fikiran Nabi Ibrahim AS ketika berdakwah terhadap kaumnya.

Pada kali ini, ustaz membawakan ayat ke-58 Surah Al-Anbiyaa’ yang bermaksud : Lalu ia memecahkan semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah berhala mereka yang besar (dibiarkannya), supaya mereka kembali kepadanya.

Apabila segala usaha dakwah yang dijalan oleh nabi Ibrahim AS tidak mendatangkan hasil dan mereka tetap enggan beriman kepada Allah SWT. Atas rasa sakit hati terhadap kaumnya yang pada ketika itu menghadiri satu upacara dan pesta keramaian, Nabi Ibrahim AS lantas mengambil keputusan untuk meruntuhkan satu-persatu berhala yang ada.

Oleh kerana bapa saudaranya sendiri memahat kayu-kayu untuk dijadikan berhala dan kemudiannya dijual, maka nabi Ibrahim AS mengetahui secara lebih terperinci di manakah lokasi penyembahan mereka dan dimana letaknya berhala-berhala ini.

Menerusi ayat yang lain, Allah SWT berfirman menjelaskan dengan lebih terperinci bagaimana Nabi Ibrahim AS pergi dan meruntuhkan berhala-berhala tersebut. Surah As-Saaffat ayat 91 -93 ada menjelaskan yang bermaksud: Lalu ia pergi kepada berhala-berhala mereka secara bersembunyi, serta ia bertanya (kepada berhala-berhala itu, secara mengejek-ejek): \”Mengapa kamu tidak makan? \”Mengapa kamu tidak menjawab?\” Lalu ia memukul berhala-berhala itu dengan tangan kanannya (sehingga pecah berketul-ketul).

Ustaz turut menjelaskan dialog yang dituturkan oleh Nabi Ibrahim AS kepada berhala-berhala tersebut bukti Baginda amat marah atas perbuatan kaumnya. Mereka meletakkan makanan-makanan untuk dipersembahkan kepada tuhan mereka agar apabila mereka pulang daripada berpesta dalam satu upacara pada malam tersebut, segala dosa mereka diampunkan. Ini membuktikan betapa mereka memisahkan kehidupan dengan agama. Perkara ini bukan sahaja terjadi kepada kaum Nabi Ibrahim AS semata-mata, bahkan ia berterusan sehingga ke hari ini. Ada segelintir daripada kita, saat senang mereka, mereka tidak memikirkan soal agama serta beribadah dan apabila ditimpa ujian dan sebagainya, baru mencari keampunan Allah SWT.

Seseorang yang mempunyai perancangan yang sangat rapi seperti Nabi Ibrahim AS, tidak memecahkan kesemua berhala tersebut untuk berhadapan dengan kaumnya. Nabi Ibrahim AS sengaja meninggalkan berhala yang paling besar. Ulama tafsir menyebut, Nabi Ibrahim AS juga sengaja meletakkan kapak di tangan serta di leher berhala yang paling besar.

Lalu apabila kaumnya ini pulang dari berpesta, mereka berdialog yang dirakamkan oleh Allah SWT di dalam Surah al-Anbiyaa’ ayat 59 yang bermaksud : (Setelah melihat kejadian itu) mereka bertanya: \”Siapakah yang melakukan perbuatan yang demikian terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang zalim\”.

Kaumnya tidak menyangka, bagaimana berhala-berhala ini boleh musnah serta bagaimana boleh tinggal berhala yang paling besar dan tidak berlaku apa-apa. Apabila berlakunya kejadian seperti ini, sepatutnya tidak timbul persoalan angkara siapakah ini. Sudah tentulah ia dilakukan oleh berhala yang paling besar kerana ia masih berada dalam keadaan yang baik. Sepatutnya sudah terjawab soalan ini kerana berhala yang paling besar ini telah marah dan seolah-olah ia tidak mahu mempunyai sekutunya lalu memusnahkan berhala yang lain.

Setiap kisah yang didatangkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran bukan perkara yang sia-sia. Setiap peristiwa yang diceritakan tentang kekufuran dan perkara syirik, pasti akan terjadi kembali pada hari ini. Dalam pendekatan dakwah, kita perlu contohi Nabi Ibrahim AS agar kita dapat berdialog dengan orang yang ingin ita dakwah. Dalam konteks Nabi Ibrahim AS, berhala-berhala yang mereka sembah, bukanlah matlamat utama. Sebaliknya, matlamatnya agar kaumnya beriman kepada Allah SWT.

Apa yang diajarkan oleh Allah SWT menerusi peristiwa ini ialah setiap apa yang kita lakukan, haruslah ada objektif dan matlamat agar diakhirnya tidak menjadi fitnah kepada diri kita dan agama.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 Julai 2016
\"2016-07-19\"
WhatsApp
Scroll to Top