MUSTAKIM MOHAMAD DILANTIK KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF BAHARU TABUNG HAJI MULAI 6 MEI 2025

PUTRAJAYA, 29 April (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar hari ini mengumumkan pelantikan Mustakim Mohamad sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu, berkuat kuasa 6 Mei 2025.

Pelantikan ini menggantikan Datuk Syed Hamadah Syed Othman yang akan menamatkan kontraknya pada 5 Mei selepas dua tahun menerajui institusi kewangan Islam terkemuka negara itu.

Menurut kenyataan media Pejabat Menteri, pelantikan Mustakim dibuat berdasarkan pengalaman luas dan keupayaan beliau dalam mendepani cabaran serta meneruskan kecemerlangan TH dalam mengurus amanah umat Islam, terutamanya dalam konteks ketidakstabilan pasaran global dan peningkatan kos perkhidmatan pihak ketiga.

Mustakim mempunyai pengalaman hampir dua dekad di TH dalam pelbagai sektor termasuk Kewangan, Pelaburan, Perkhidmatan Deposit dan Operasi, serta Teknologi Maklumat dan Keselamatan, menurut kenyataan itu.

Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang kewangan dari Universiti RMIT, Australia merupakan ahli Felo Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).

Mohd Na’im turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Syed Hamadah atas sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya.

TH di bawah kepimpinan baharu ini dijangka akan terus menekankan pendekatan proaktif dan berinovatif untuk memastikan kelangsungan operasi secara mampan dan memenuhi keperluan para pendeposit.

Sumber gambar – Utusan Malaysia

WhatsApp
Scroll to Top