MURABBI DAN ILMUAN DUTA PROMOSI KEAMANAN DAN KEHAMORNIAN BERMASYARAKAT

KUALA LUMPUR, 4 Nov (IKIM) – Para imam, guru takmir dan guru kafa selaku pendidik ummah disaran agar dapat mendidik dan membangunkan masyarakat dengan nilai-nilai madani yang mengangkat 6 prinsip utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Dalam masa sama para pendidik ummah ini juga diharap dapat mempromosi keamanan dan keharmonian bermasyarakat yang dilihat semakin berantakan dan masyarakat bergaduh sesama sendiri.

Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata kita tidak mahu masyarakat terus dimomokkan dengan agenda sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menyebar fitnah, adu domba apatah lagi lebih ekstrem sehingga ke tahap kafir-mengkafir sesama umat Islam.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program ‘Jelajah MADANI Ulama’ dan Umara’ (JMUU) Peringkat Zon Tengah (Wilayah Persekutuan dan Selangor) 2024’ di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

“Jelajah ini memberi peluang kepada pemimpin, ketua-ketua agensi agama dan para pendidik ummah untuk bertemu bagi berkongsi perkembangan terkini berkaitan dasar dan peningkatan usaha dalam mempertingkatkan syiar Islam menerusi gagasan Malaysia Madani dan Pelan Transormasi Al-Falah yang telah dibangunkan di peringkat Agensi—agensi Hal Ehwal Agama,” tambah beliau.

Dalam majlis tersebut sebanyak 6 Anugerah Tokoh Mithali Peringkat Negeri Zon Tengah tahun 2024 telah disampaikan iaitu Kategori Guru Takmir (WP Kuala Lumpur & Selangor); Kategori Imam (WP Kuala Lumpur & Selangor); dan Kategori Guru Kafa (WP Kuala Lumpur & Selangor). 

Beliau dalam ucapannya turut berkata peningkatan peruntukan keseluruhan Belanjawan MADANI 2025 terhadap pengurusan hal ehwal Islam merupakan bukti kerajaan MADANI amat komited untuk memperkasakan syiar Islam di negara ini.

Turut hadir dalam program tersebut Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Datuk Hj. Mohd Ajib Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM. 

WhatsApp
Scroll to Top