KANGAR, 10 April (IKIM) – Penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) saban tahun terus menjadi manifestasi komitmen utuh antara kerajaan dalam memperkasa syiar Islam serta membudayakan penghayatan al-Quran dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata, penganjuran secara penggiliran di seluruh negeri bukan sahaja menyerlahkan kerjasama kolektif antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, malah turut memainkan peranan penting dalam usaha menyemai minat membaca dan memahami al-Quran serta mengamalkan tuntutan-Nya dalam kehidupan seharian.
“MTHQK juga menjadi wadah yang selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri, khususnya dalam menjayakan agenda pembangunan ummah dan pembinaan generasi berteraskan nilai-nilai Al-Falah,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada majlis Pra Pelancaran MTHQK Kali ke-64 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, di sini hari ini.
Memasuki edisi ke-67 sejak mula diperkenalkan pada tahun 1960, pelbagai penambahbaikan telah diperkenalkan bagi memastikan MTHQK kekal relevan dan memberi impak yang besar kepada masyarakat. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) komited untuk terus mempertingkatkan mutu dan prestij majlis ini, termasuk menerusi kecanggihan teknologi seperti sistem eMTHQ yang telah digunakan sejak tahun 2020.
MTHQK 2025 turut memperkenalkan peraturan dan penghakiman baharu yang bertujuan meningkatkan kompetensi peserta, selaras dengan standard penghakiman antarabangsa. Penambahbaikan ini merangkumi aspek pelaksanaan majlis, syarat penyertaan, kaedah penghakiman, serta kaedah pengiraan markah.
MTHQK 2025 melibatkan penyertaan seramai 109 peserta daripada seluruh negeri. Secara umumnya, setiap negeri diwakili oleh lapan (8) peserta iaitu dua (2) peserta dalam pertandingan Tilawah Al-Quran manakala enam (6) peserta dalam pertandingan Hafazan Al-Quran. Penglibatan seluruh negeri dalam pertandingan tahun ini menjadikan jumlah perserta Tilawah adalah seramai 28 orang; iaitu 14 orang Qari dan 14 orang Qariah.

“Seramai 26 hakim terlibat iaitu 12 orang untuk menilai bacaan para peserta Tilawah. Manakala para huffaz pula akan dinilai oleh 14 hakim. Jemaah Hakim akan dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM. Aspek-aspek bacaan yang akan dinilai oleh para hakim ini ialah kelancaran bacaan (fasohah), hukum tajwid, suara, persembahan dan tarannum,” tambah beliau.
Selain itu, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah berbesar hati untuk menaja hadiah (tambahan) kepada johan setiap Kategori Tilawah dan Hafazan berupa 1 dinar emas YaPEIM Gold berjumlah keseluruhan RM16,000 selain pemenang akan membawa pulang wang tunai, wang tunai (haji / umrah), piala, cenderamata dan sijil kepada pemenang.
Segala usaha ini mencerminkan tekad berterusan dalam memartabatkan Islam sebagai Agama Persekutuan serta menjadikan al-Quran sebagai sumber panduan utama dalam kehidupan rakyat Malaysia yang beriman dan berilmu.
Turut hadir Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Mohd Shukri Bin Ramli dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.