BANGI, 29 Okt (IKIM) – Usaha memperkukuh pendidikan Islam negara terus diperkasakan apabila Modul Mini Tahfiz Al-Falah diperkenalkan sebagai pendekatan baharu yang lebih progresif, seimbang dan berdaya mampan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, modul yang dibangunkan oleh Sekolah Rendah Integrasi Islam Bangiku (SRIIB) itu dirangka dengan mengambil kira keupayaan serta cabaran akademik murid, melalui kaedah hafazan yang praktikal, progresif dan menyeluruh.
“Modul ini bukan sekadar menumpu kepada hafazan, tetapi turut menekankan aspek pemahaman, penghayatan, pengulangan dan penilaian berkala, agar ayat-ayat yang dihafaz benar-benar meresap ke dalam jiwa dan diamalkan dalam kehidupan,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Modul Mini Tahfiz Al-Falah, di sini hari ini.

Mohd Na’im menjelaskan, pelaksanaan modul tersebut bertepatan dengan Pelan Transformasi Al-Falah, yang menjadi panduan strategik ke arah pembentukan institusi Islam progresif dan relevan dengan gagasan Malaysia MADANI di mana agama, masyarakat dan negara bergerak seiring dalam keharmonian.
Beliau berkata Modul Mini Tahfiz Al-Falah secara langsung menyokong beberapa teras utama Al-Falah, termasuk Kesejahteraan Insan, iaitu melahirkan generasi berjati diri dan produktif; serta Pentadbiran Islam Mampan, yang memperkukuh sistem pendidikan Islam yang tersusun, berintegriti dan lestari.
Mohd Na’im turut menjelaskan bahawa modul ini merangkumi 41 surah dan tiga ayat pilihan, disusun selaras dengan silibus Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pada majlis tersebut, sejumlah RM84,450 sumbangan telah disampaikan kepada pihak sekolah termasuk sumbangan dari Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan Yayasan Taqwa MAIWP.
Turut menyampaikan sumbangan Ahli Majlis MPKJ Zon 15, Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras DUN Sungai Ramal serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr Ridzwan Bin Bakar; Ketua Pengarah YAPEIM, Haji Zabidi Bin Nasan; dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP, Haji Abdullah Zuhdee Bin Abd Halim.




