PUTRAJAYA, 2 September (IKIM) – Pendakwah perlu menunjukkan teladan akhlak, keutuhan integriti, serta keikhlasan dalammenyampaikan mesej dakwah agar lebih diyakini, dihormati dan diterima.
Demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 dan Jasamu Dikenang Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini hari ini.
“Kita semua perlu menjadi ejen penggerak yang sentiasa bersedia menghadapi cabaran semasa, sama ada dalam ruang digital, sosial mahupun ekonomi,” kata beliau.

Mohd Na’im berkata dalam konteks Malaysia Madani yang sedang digagaskan, peranan YADIM sangat signifikan dan antara agensi teras dalam membumikan nilai ihsan, kasih sayang, keadilan dan kesejahteraan melalui program dakwah, tarbiah serta kebajikan.
Seramai 21 orang penerima daripada 7 kategori perkhidmatan diraikan pada majlis ini, selain penyampaian Anugerah Khas Jasamu Dikenang.
Penerima anugerah membawa pulang sijil penghargaan, wang tunai dan kepingan emas sebagai pengiktirafan atas usaha gigih dan komitmen.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan; Yang Dipertua YADIM Datuk Dr. Hasan Bahrom; dan Ketua Pengawai Eksekutif YADIM Hj. Zamri Zainal Abidin.
Foto: FB Dato’ Setia Dr. Na’im