Mereka Yang Dipanggil dan Disoal

SETELAH manusia dikumpulkan di hadapan Allah untuk disoal ketika berada di Padang Mahsyar nanti, mereka akan tertanya-tanya siapa yang akan dipanggil dan disoal serta apakah soalan yang akan ditanya oleh Allah. Para ulama berpendapat, ada lapan golongan manusia yang berada di Padang Mahsyar menanti untuk diadili di hadapan Allah. Menurut Abu Hamid berdasarkan kitabnya Kasyful Ulum al-akhirah, orang yang pertama yang akan disoal Allah ialah mereka yang buta ketika didunia dan taat kepada perintah-Nya. Rasulullah SAW menyifatkan mereka ini adalah di kalangan mereka yang sabar dengan ujian Allah. Mana-mana manusia yang Allah tarik nikmat penglihatan ketika hidup di dunia iaitu mereka yang buta matanya, sabar dan taat, maka akan diganti kedua-dua matanya itu dengan balasan syurga untuk dirinya.

Ketika golongan yang buta matanya disoal Allah dan menjawab segala pertanyaan yang ditujukan kepadanya maka Allah berkata: “Kamu lebih berhak memandang Kami, kerana ketika di dunia kamu tidak nampak ayat-ayat Allah, tetapi kamu masih beriman. Besarnya kehebatan kamu dan sekarang bergeraklah kamu ke syurga.” Lalu dicelikkan matanya dan dipasangkan padanya panji-panji dan diserahkan kepada Nabi Shuib AS dan Baginda akan membawa mereka ke syurga. Ramainya bilangan golongan ini sehingga tidak dapat dihitung jumlahnya. Mereka akan melalui titian sirat sepantas kilat yang menyambar, malah Rasulullah menyebut Allah menjadi takjub kepada orang mukmin. Segala sesuatu yang terjadi di dalam hidup mereka semuanya menjadi baik, jika diuji Allah dengan kepedihan hidup maka mereka akan sabar. Jika diberi kebaikan oleh Allah, mereka akan bersyukur. Tidak akan terjadi sedemikian kecuali hanya bagi orang-orang mukmin.

Golongan kedua ialah dikalangan manusia yang dihina dan diperlekehkan ketika hidup di dunia dahulu. Di Padang Mahsyar kelak, mereka akan disambut Allah dengan penuh kasih sayang. Mereka yang dizalimi dan dikhianati ini mempunyai kelebihan kerana doa mereka didengari Allah. Malah diperintahkan Allah di Hari Akhirat kelak untuk menuju ke syurga setelah diberikan panji berwarna hijau yang diserahkan kepada Nabi Ayoub AS dan Baginda akan membawa mereka ke syurga. Oleh itu bersabarlah ketika kita menerima penghinaan manusia ketika hidup di dunia kerana kita dianggap mulia disisi Allah kerana dihiasi pendirian agama yang teguh.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi perkongsiannya di dalam slot Mau’izati di IKIMfm pada setiap Khamis, berkata,  golongan ketiga yang akan disoal Allah di Padang Mahsyar ialah orang-orang muda yang taat. Mereka disambut Allah dengan penuh kasih sayang dan diperintahkan untuk memasuki syurga. Ini kerana pada usia muda itulah manusia memiliki nafsu yang membuak-buak dan jarang sekali golongan muda mentaati agama. Rasulullah SAW sendiri mengkagumi orang-orang muda yang mengimarahkan masjid dan taat kepada perintah agama. Setelah disambut Allah di Padang Mahsyar, mereka diberikan panji-panji hijau dan dipimpin oleh Nabi Yusuf AS untuk masuk ke syurga di atas sikap sabar, ramah dan berilmu ketika mereka hidup di dunia dahulu.

Manakala golongan keempat yang akan dipanggil dan disoal Allah di Padang Mahsyar ialah manusia yang berkasih sayang ketika di dunia kerana Allah dan mereka rela dibenci manusia lain kerana Allah, kerana di dalam diri mereka penuh keikhlasan dan tidak pernah timbul perasaan marah-marah atau menurut hawa nafsu. Di akhirat juga mereka disambut Allah dengan penuh kasih sayang dan diperintahkan memasuki syurga.

Golongan kelima ialah orang-orang yang ketika hidupnya menitiskan air mata kerana takut kepada Allah. Darah mereka akan ditimbang disisi Allah bersama-sama darah para syuhada dan tinta tulisan para alim ulama. Sesungguhnya darah mereka dari golongan ini lebih berat timbangannya dan diperintahkan Allah untuk masuk ke dalam syurga. Mereka akan dipasangkan panji-panji  pelbagai warna yang tertulis mereka adalah orang yang takut kepada Allah, mengharapkan redha-Nya serta menyesali kesalahannya. Panji-panji itu diserahkan kepada Nabi Nuh AS dan memimpin mereka menuju syurga Allah.

Orang-orang yang fakir dan miskin serta taat kepada perintah Allah ketika di dunia merupakan golongan keenam yang akan disoal di hadapan Allah di Padang Mahsyar kelak. Allah mengalu-alukan golongan ini: “Selamat datang wahai orang yang dunia ibarat penjara baginya”. Mereka dipasangkan panji-panji  berwarna kuning dan dibawa oleh Nabi Isa AS ke dalam golongan kumpulan kanan untuk memasuki syurga Allah.

Golongan ketujuh yang dipanggil menghadap Allah ialah mereka yang terdiri daripada orang-orang kaya ketika didunia. Mereka dihisab oleh Allah selama lebih kurang 500 tahun jaraknya berbanding golongan keenam yang terdiri daripada fakir miskin. Rasulullah SAW berkata golongan kaya juga turut memasuki syurga tetapi mereka ini terlalu sedikit jumlahnya. Mereka akan banyak disoal Allah kerana kebanyakan daripada golongan ini lupa daratan setelah memiliki harta yang banyak kecuali bagi mereka yang taat kepada agama Allah. Golongan ini dipasangkan panji berwarna-warni, lalu dipimpin oleh Nabi Sulaiman AS membawa mereka terus masuk ke dalam syurga.

Golongan seterusnya yang akan dipanggil dan disoal Allah ialah para pemimpin ketika hidup di dunia dahulu. Rasulullah SAW mengingatkan tidak akan ada seorang pun pemimpin  di dunia ini melainkan akan ditahan di akhirat sehingga Allah melepaskannya kerana keadilan di dalam memimpin atau ditahan untuk dihumban ke dalam neraka kerana kezaliman yang telah dilakukannya. Umar pernah berkata kepada Abu Zar al-Ghifari untuk menerangkan kepadanya tentang hadis Rasulullah SAW dan dia menjawab Baginda bersabda: “Pada Hari Kiamat nanti pemimpin disuruh berjalan di atas titian neraka Allah. Ketika dia melalui titian itu, tiba-tiba ia bergoyang dengan kuat dan semua yang ada di atas titian itu jatuh. Sesiapa yang taat kepada Allah di dalam pekerjaannya  maka berlalulah dia dengan selamat tiba ke seberang titian sirat. Sedangkan mereka yang derhaka kepada Allah di dalam pekerjaannya dia jatuh ke dalam neraka Allah selama 50 tahun.”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 29 September 2016
WhatsApp
Scroll to Top