DALAM rancangan Tarbiyah di radio IKIMfm setiap hari Jumaat jam 10 pagi, Profesor Madya Dr. Syarifah Hayaati Syed Ismail minggul lalu bercakap tentang “menuju puncak”.
Beliau memetik mafhum surah al-Rum ayat 23 yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah tidurmu di waktu malam dan siang hari dan usahamu mencari sebagian dari karunia-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mendengarkan. (Ar-Rum 30:23)”.
Islam menyuruh kita mempertingkatkan setiap hari kualiti hidup kita dari hari ke sehari seperti kata-kata hikmah yang sering kita dengar diungkapkan iaitu “sesiapa yang dua harinya sama, maka dia adalah orang yang leka dan lalai, manakala orang hari itu lebih buruk daripada sebelumnya makan orang tersebut dibimbangi akan dilaknat oleh Allah SWT.
Matlamat untuk setiap hari menjadi orang yang terbaik sepatutnya merupakan cita-cita setiap orang daripada kita. Jangan kita menjadi orang yang menyerah kepada masa dan keadaan menentukan sepertimana pepatah Melayu yang berbunyi “untung sabut timbul, untung batu tenggelam”, kerana ini seolah orang yang pasrah dan mengikut apa sahaja yang akan berlaku tanpa ada usaha untuk memperbaiki diri dan meningkatkan kehidupan diri kita. Ada pepatah Arab yang menyebut “jadilah individu yang mempunyai himmah, walau kaki berpijak di bawah, matlamat di atas tinggi setinggi bintang Thurayya”. Kita hendaklah menjadi orang yang meletakkan matlamat tinggi di langit setinggi bintang al-Thurayya walaupun mungkin kita tidak akan mampu mencapai bintang tersebut.
Kerja harian kita jangan dilihat sebagai suatu bebanan tetapi sebagai amanah dan cara untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Kalau kita melihat kerja sebagai matlamat untuk hidup, maka ia akan menjadi berat dan susah. Matlamat menuju puncak itu merupakan matlamat yang ditetapkan dalam agama. Persoalannya ialah sekiranyan kita sudah ada matlamat dalam hidup, kita tidak mahu hidup kita menjadi layang-layang lagi yang terbang ikut angin, atau seperti sabut yang tenggelam atau timbul mengikut sesuka hati, tetapi kita mahu kehidupan kita diatur dan disusun agar kita berusaha mencapai matlamat kita yang tinggi dan bukan mengikut keadaan.
Untuk mencapai puncak, Baginda SAW mengajarkan kepada kita beberapa perkara antaranya yang boleh kita jadikan panduan ialah mafhum Sabda Baginda SAW “orang mukmin yang kuat lebih baik daripada orang mukmin yang lemah”. Mukmin kuat di sini bukan bermaksud kekuatan fizikal, tetapi kekuatan di sini membawa maksud kekuatan diri, kekuatan rohani kerana Nabi SAW tidak memuji orang yang hanya kuat dari segi fizikal tetapi lemah dari segi emosi dan rohani. Dalam satu hadith Nabi SAW mafhum menyebut “bukanlah orang yang kuat itu orang yang menang bergusti, tetapi orang kuat itu ialah orang yang mampu mengawal dirinya ketika marahnya”
Ada sekurangnya tiga perkara yang ditekankan oleh Baginda SAW dalam hidup ini untuk menjadi orang yang mampu menuju puncak antaranya ialah pertama, memelihara apa sahaja yang memberi manfaat, kedua, memperbanyakkan memohon bantuan daripada Allah SWT dan ketiga, ialah jangan mudah bersikap lemah dan berputus asa. Sikap berputus asa semakin mudah di kalangan remaja hari ini yang kerap mengungkapkan “boring” , “boring”. Jangan kita berterus-terusan bersikap bermalas-malasan, namun jika sesekali mungkin ia merupakan lumrah kehidupan manusia.
Puncak tinggi bermula dengan impian dan cita-cita dahulu. Tidak salah untuk bercita-cita tinggi tetapi bukan berangan-angan Mat Jening, angan-angan kosong yang tidak diiringi dengan usaha. Membina angan-angan itu merupakan hasrat yang murni, yang elok yang dibenarkan oleh Syarak. Berangan tanpa usaha, sekadar angan-angan kosong dan makan, tidur, maka ia tidak akan memberi manfaat. Untuk berjaya juga, Baginda SAW mengajarkan kepada kita tidak bersikap statik tetapi dinamik sepertimana Baginda SAW turut berhijrah dari Mekah ke Madinah. Penghijrahan itu bukan bermakna Islam lemah dan mengaku kalah, tetapi sebagai strategi untuk menuju puncak kejayaan, hingga akhirnya umat Islam kembali berjaya membuka Mekah atau disebut Fathul Makkah. Ini semua adalah cara dan kaedah untuk kita menuju puncak kejayaan.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 Julai 2017