RASULULLAH SAW bersabda, “Dunia ini merupakan penjara di dalam hidup orang mukmin dan ia merupakan syurga kepada orang yang tidak beriman kepada Allah.” Tetapi apabila kembali menghadap Allah SWT, apa yang diharapkan ialah agar perjalanan kita nanti sebagai ahli syurga dan begitu indah. Di dalam slot Mau’izati bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani yang ke udara di IKIMfm pada setiap Khamis, jam 5.15 petang, telah membicarakan tentang tiga alam yang perlu di lalui oleh setiap manusia iaitu alam rahim, alam dunia dan alam barzakh.
Perkongsian seterusnya adalah berkaitan dengan alam keempat iaitu hari kebangkitan atau alam mahsyar, manusia dibangkitkan semula serta dikumpulkan. Sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran, Surah Yasin, ayat 52: “(Pada ketika itu) orang –orang yang tidak percayakan hidup semula berkata; Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?, (Lalu dikatakan kepada mereka): Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang MAha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul!. Sebelum tibanya hari kebangkitan ini, kita melalui perjalanan di alam barzakh yang sebenarnya merupakan rahmat daripada Allah SWT kepada diri kita. Ia merupakan keutamaan dan keistimewaan bagi manusia untuk melalui alam barzakh berbanding keadaan hidup yang terus menempuhi hari kebangkitan tanpa melalui alam barzakh ini.
Di antara keistimewaan manusia yang melalui alam barzakh ialah kesempatan yang ada apabila orang lain berpeluang berdoa kepada diri kita . Di dalam hadis Rasulullah SAW menceritakan betapa rahmatnya Allah ke atas seorang hamba-Nya ini ketika dia meninggal dunia di dalam keadaan dosanya yang banyak, tetapi apabila tiba hari kebangkitan, dia dibangkitkan di dalam keadaan bersih daripada dosa-dosa. Lalu dia bertanya kepada Allah, daripada manakah datangnya pahala-pahala sedangkan pada saat kematiannya dahulu dipenuhi dengan dosa? Melalui malaikat, Allah menjawab bahawa inilah hasil daripada doa-doa anak yang salih untuk dirinya. Sebagai seorang anak, kita masih boleh berbakti kepada kedua orang tua, dengan sentiasa berdoa agar Allah mengampun dosa-dosa mereka, mengangkat darjat dan menjadikan kubur mereka sebagai taman syurga. Sesungguhnya doa anak-anak yang salih tidak ada hijab di antaranya dengan Allah SWT.
Selain itu sekiranya kita terus menempuhi alam mahsyar sebelum sempat melalui alam barzakh, itu menandakan kita hidup pada akhir zaman yang pada ketika itu di antaranya tanda-tandanya ialah sudah tidak ada lagi para salihin sebelum munculnya Dajjal yang mengelirukan manusia. Kebanyakan manusia pada waktu itu berada di dalam kesesatan dan mengagumi Dajjal selain daripada Rasulullah. Sebagaimana yang dapat dilihat sebagai contoh pada masa kini, wujudnya golongan yang memperjuangkan isu transgender, LGBT dan seumpamanya, wujudnya golongan Atheis dan ajaran yang sesat sebagai usaha menongkah arus yang bercanggah dengan syariat agama. Semua ini adalah berpunca daripada terpengaruh dengan anak-anak Dajjal sebelum tibanya Dajjal itu sendiri. Pada akhir zaman, Allah matikan orang-orang yang salih supaya tiada lagi orang-orang yang beriman di muka bumi ini, manakala manusia yang tinggal pada ketika itu adalah di kalangan orang-orang yang mengikut hawa nafsu, hanyut serta leka dengan maksiat. Oleh itu adalah satu kenikmatan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang berkesempatan untuk melalui alam barzakh.
Orang-orang yang beriman melalui alam barzakh sebagai suatu masa yang digunakan untuk beristirehat sebelum menempuhi hari kebangkitan. Rasulullah SAW menyebut, kubur itu merupakan di antara taman kepada taman syurga. Sebelum memasuki syurga orang mukmin akan berehat daripada kelelahan dan kepayahan ujian yang telah dilalui ketika hidup di dunia dahulu. Allah memberi ruang agar alam barzakh itu dijadikan alam untuk beristirehat dan lebih awal merasai nikmat-nikmat syurga.
Para ulama menyebut ada dua golongan manusia yang menantikan tibanya hari kebangkitan, iaitu orang yang telah meninggal dunia yang sudah sekian lama berada di alam barzakh. Mereka sering bertanya bilakah akan tibanya hari kiamat, kerana sudah tidak sabar untuk memasuki syurga Allah. Golongan kedua ialah manusia yang hidup di muka bumi ini, yang sentiasa berdoa di dalam solat untuk bertemu dengan hari yang dikuasai oleh raja kepada segala raja di dunia (Allah) iaitu hari kebangkitan. Saidina Ali menyebut: “Dunia ini adalah tempat kamu beramal, tetapi akhirat bukan lagi waktunya untuk kamu beramal dan merupakan hari bagi kamu menerima balasan”. Orang mukmin tidak sabar untuk menantikan tibanya hari kebangkitan, kerana ketika di dunia mereka sering menerima cacian dan kejian, apabila tibanya kiamat kelak segalanya akan menjadi lebih baik dan kekal.
Di dalam Surah al-A’raf, ayat 57, Allah berfirman: “Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu pelbagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).” Begitulah Allah menggambarkan berlakunya hari kebangkitan nanti.
Ada beberapa tanda yang menunjukkan akan berlakunya hari kebangkitan. Abu Daud al-Talisi dan Imam al-Baihaqi serta riwayat lain, menyebut di dalam hadis daripada Abu Radzin al-Uqaili, disebut: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, bagaimana Allah mengembalikan penciptaan di muka bumi ini? Apa tanda-tanda yang terdapat pada makhluknya, ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Pernahkah kamu melalui satu lembah yang gersang dan tandus, dan apabila kamu melaluinya buat kedua kalinya, tanah itu bertukar menjadi subur dan menumbuhkan tumbuhan yang hijau?” Para sahabat menjawab mereka pernah melaluinya. Lalu Baginda berkata, “Itulah tanda-tanda pada makhluk yang diperlihatkan oleh Allah, bagaimana akan berlakunya kebangkitan.” Diriwayatkan oleh Raqid bin Amir, menyebut Rasulullah SAW bersabda; “Kemudian Allah memerintahkan langit agar menurunkan hujan daripada Arasy Allah, demi Tuhan kamu tidak ada sesuatu pun yang pernah hidup di dunia ini kemudian dia mati terbunuh dan mati dengan sepenuhnya, kemudian dia dikebumikan melainkan kuburnya akan terbelah. Turunnya air hujan menenggelamkan bumi separas dua hasta. Pertama sekali yang akan diciptakan adalah kepala mereka, semua manusia akan dibangkitkan di dalam keadaan bagaimana mereka dimatikan dahulu, berdasarkan kepada amalan-amalan mereka”.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 April 2016