MENTERI AGAMA TERIMA KUNJUNGAN DUTA BESAR CHINA, SUMBANGAN RM100,000 PERKUKUH KERJASAMA KEMANUSIAAN.

PUTRAJAYA, 18 Nov (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar hari ini menerima kunjungan hormat Duta Besar China ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing la dalam satu pertemuan ringkas, menerusi catatan di laman Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, hubungan erat Malaysia–China terus diperkukuh melalui kepedulian bersama terhadap golongan yang memerlukan. 

“Sejak tahun 2020, Kedutaan China telah bersama-sama kita menghulur tangan kepada kelompok asnaf, ibu tunggal, OKU, gelandangan dan keluarga B40 dan hari ini, mereka sekali lagi menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada Tabung Musa’adah JAWI,” kata beliau.

Mohd Na’im berkata pertemuan hari ini, menzahirkan komitmen Kedutaan China yang berterusan dan menjadikan jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan mencecah RM800,000 sejak inisiatif itu bermula.

“Setiap ringgit ini bukan sekadar angka, ia adalah beras di dapur ibu tunggal, ia adalah susu anak kecil yang menunggu di rumah, ia adalah sedikit nafas buat mereka yang diuji banjir, ia adalah harapan yang kembali bernyawa,” tambah beliau.

Beliau menegaskan bahawa semangat Malaysia MADANI dan agenda Transformasi Al-Falah menuntut sebuah masyarakat yang inklusif, saling membantu dan tidak membiarkan sesiapa tertinggal.

Foto: FB Dato’ Setia Dr. Na’im

WhatsApp
Scroll to Top