KUALA LUMPUR, 2 September (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar menyeru semua masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) agar mengadakan Solat Hajat pada esok (3 September) bagi mendoakan keselamatan Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla.
Beliau dalam satu kenyataan malam ini berkata pelaksanaan solat itu adalah sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan kemerdekaan Palestin serta usaha meringankan penderitaan rakyatnya.
“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan Misi Global Sumud Flotilla yang membawa misi kemanusiaan ke Palestin diberikan perlindungan dan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan, beberapa organisasi dalam negara telah menyertai misi tersebut sejak 31 Ogos lalu bersama komuniti antarabangsa dalam mendokong perjuangan serta memberikan sokongan kepada Palestin.
Mohd Na’im berkata sebarang inisiatif bagi meringankan kesengsaraan rakyat Palestin wajar didokong oleh seluruh umat Islam, termasuk doa agar usaha berkenaan dipermudah serta diberkati Allah SWT.
Sebanyak 24 kapal flotila dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol berlepas ke Gaza pada Ahad, membawa mesej kemanusiaan dan bantuan asas, disertai lebih 1,000 peserta antarabangsa daripada 44 negara termasuk 15 wakil Malaysia.
Foto: FB Dato’ Setia Dr. Na’im