PUTRAJAYA, 23 Julai (IKIM) — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar hari ini merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman penghargaan istimewa untuk rakyat Malaysia.
Beliau menyifatkan inisiatif tersebut sebagai bukti nyata keprihatinan Kerajaan MADANI yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dan mendengar denyut nadi mereka.
“Saya melihat penghargaan ini bukan sahaja memberi manfaat dari sudut kebajikan ekonomi, malah menjadi manifestasi komitmen Kerajaan dalam memelihara maruah dan kesejahteraan masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Na’im berkata antara golongan yang dijangka menerima manfaat langsung daripada inisiatif tersebut termasuk golongan asnaf yang memerlukan perlindungan dan sokongan berterusan; dan guru KAFA, guru agama, guru takmir, guru pondok, para huffaz dan asatizah yang giat mendidik generasi pewaris.
Selain itu, inisiatif itu turut memanfaatkan para imam, bilal, tok siak, noja, marbut serta pendakwah dan pentadbir institusi agama; serta badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang aktif dalam kerja kebajikan, pendidikan dan advokasi.
Peguam syarie yang memperjuangkan keadilan berdasarkan prinsip syariah; serta Pegawai Hal Ehwal Islam serta seluruh warga kerja institusi keagamaan akan turut mendapat manfaat daripada inisiatif yang diimumkan Perdana Menteri.
Menurut Mohd Na’im, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus memperkukuh kerjasama antara agensi agama, institusi masyarakat dan kepimpinan negara bagi memastikan nikmat pembangunan dan keadilan sosial di bawah gagasan Malaysia MADANI dapat dirasai oleh semua lapisan rakyat.