MENTERI AGAMA KECAM PENYALAHGUNAAN GAMBAR KANAK-KANAK DI MEDIA SOSIAL

PUTRAJAYA, 13 Jun (IKIM) — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar mengecam sekeras-kerasnya penyalahgunaan gambar kanak-kanak dan remaja di media sosial serta mendesak tindakan tegas diambil terhadap individu dan kumpulan yang terlibat dalam jenayah seksual dalam talian.

Kecaman itu dibuat susulan pendedahan pempengaruh media sosial, Mek Yun, mengenai penyebaran gambarnya ketika masih bersekolah dalam sebuah kumpulan Facebook yang didakwa mempromosikan kandungan tidak bermoral melibatkan kanak-kanak. 

Lebih mengejutkan, seorang ahli kumpulan tersebut secara terbuka mengaku pernah melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak.

“Ini adalah satu bentuk jenayah yang sangat keji dan menjijikkan, bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga mencabuli batas-batas kemanusiaan serta nilai moral masyarakat,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Na’im menegaskan bahawa perlindungan terhadap kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama semua pihak. 

Beliau menyeru pihak berkuasa untuk segera menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap semua yang terlibat, termasuk pentadbir kumpulan media sosial terbabit.

“Kita tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang bentuk gangguan seksual, apatah lagi melibatkan kanak-kanak,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan orang dewasa agar menjaga adab dalam pertuturan dan interaksi dengan kanak-kanak, baik secara fizikal mahupun di alam maya. Bahasa berunsur kotor, jijik dan seksual terhadap kanak-kanak bukan sahaja tidak bermoral, malah boleh memberi kesan psikologi yang serius kepada mangsa.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati ibu bapa dan penjaga agar memantau penggunaan media sosial anak-anak serta mendidik mereka mengenai keselamatan digital. Pihak berkuasa pula disaran memperkukuh undang-undang dan sistem pemantauan terhadap jenayah seksual dalam talian.

“Kerajaan MADANI komited untuk memastikan keselamatan anak-anak dan remaja terus terpelihara sebagai satu amanah yang mesti dipertahankan,” ujar beliau.

WhatsApp
Scroll to Top