MENTERI AGAMA JUNJUNG TITAH SULTAN SELANGOR, GESA TINDAKAN TEGAS TERHADAP PENIPUAN PAKEJ HAJI

Putrajaya, 7 Jun (IKIM)– Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar menzahirkan sokongan penuh terhadap titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang murka dan bimbang terhadap peningkatan kes penipuan pakej haji melibatkan rakyat negeri itu, khususnya yang terkandas akibat menggunakan visa pelancong.

Dalam satu kenyataan semalam, Mohd Na’im menjunjung kasih titah baginda yang memperlihatkan keprihatinan seorang raja berjiwa rakyat terhadap kebajikan umat Islam, terutamanya dalam urusan ibadah haji yang suci dan mulia.

“Perbuatan menipu atas nama agama dan ibadah haji adalah satu jenayah besar bukan sahaja dari sudut undang-undang, bahkan dari sudut syarak,” tegas beliau, sambil menggesa tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat pelancongan yang terbabit.

Beliau turut memuji tindakan proaktif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menyeru mangsa untuk tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa serta menasihati orang ramai agar hanya berurusan melalui saluran rasmi seperti Tabung Haji dan ejen berlesen.

Beliau turut mengingatkan umat Islam agar sentiasa berwaspada dengan tawaran pakej haji yang mencurigakan, terutama yang menggunakan visa pelancong serta menyemak latar belakang syarikat atau ejen haji melalui saluran sah seperti Tabung Haji dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Mohd Na’im turut menggesa orang ramai melaporkan segera kepada pihak berkuasa jika terdapat unsur penipuan atau penyalahgunaan.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan seperti Tabung Haji, PDRM, MOTAC dan semua Majlis Agama Islam Negeri bagi membanteras jenayah ini secara menyeluruh,” ujar beliau. 

WhatsApp
Scroll to Top