ALLAH kurniakan hati dan rasa untuk merasai nikmat-Nya. Nikmat iman yang penuh keberkatan, kemulian dan pengampunan ALLAH akan memberi hidayah serta kekuatan dalam hati untuk terus memanfaatkan sepenuhnya dalam kehidupan. Dalam Islam, soal emosi sangat penting bagi setiap individu kerana berkait rapat dengan perasaan. Oleh itu, pengurusan emosi tersebut perlu diketahui supaya mampu mengurusnya dengan baik. Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam segmen Islam Itu Indah yang bersiaran di IKIMfm pada hari Rabu jam 10.15 pagi minggu lalu, membicarakan topik ‘menguruskan emosi’.
Apabila berdosa manusia akan melalui taubat. Taubat itu mempunyai syaratnya iaitu rasa menyesal. Istilah rasa yang berkaitan dengan emosi turut memainkan peranan dalam memberi garis panduan kepada umat Islam supaya takut dan patuh dengan perintah larangan ALLAH. Istilah rasa juga datang dari hati dimana terletaknya iman seseorang menandakan keyakinan kepada ALLAH. Begitu juga dengan takwa yang terletak dalam hati. Rangkuman dari hati mendorong tindakan manusia mengikut apa yang dirasainya. Hati seseorang itu juga akan menjadi baik apabila selalu melafaskan perkara yang baik dengan menyebut zikrullah. ALLAH menerangkan perkara ini melalui surah Ar-Ra’d ayat 28, maksudnya \”(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah\”. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia”. Kemahuan yang dirasai oleh seseorang lebih kuat dari pengetahuan yang ada di fikirannya. Emosi juga akan mempengaruhi cara kita berfikir dan sekiranya berfikir itu salah maka tindakkan akan menjadi salah.
Fikiran yang terletak di dalam hati turut menyebabkan tindakan yang tidak baik akan dilakukan apabila emosi menjadi marah. Oleh yang demikian, jika umat Islam tidak berfikir dengan baik dan tidak merasai setiap kelebihan serta ganjaran yang ALLAH beri, semua ini akan dipinggirkan serta disia-siakan begitu sahaja. Hal ini turut berkait rapat dengan ilmu yang dicari. Ianya bukan semata-mata melalui kelulusan pendidikan sahaja tetapi kehadiran makna ilmu itu pada hati yang membawa sesuatu rasa menjadi satu tindakan baik. Allah menjelaskan situasi ini melalui surah Fatir ayat 28 yang maksudnya, “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu”. Maksud dari surah ini juga menekankan bahawa orang yang berilmu perlu ada rasa takut kepada ALLAH dimana Istilah takut ini merupakan satu perasaan.
Dalam kehidupan yang dilalui, umat Islam perlu melihat situasi yang tersendiri dan perlu memperbaiki diri. Ilmu yang ada bukan bermaksud seseorang itu berjaya dari segala aspek. Sebagai contoh ada segelintir individu yang mendapat kecemerlangan dalam mata pelajaran tetapi tidak melaksanakan solat. Hal ini menerangkan ilmu itu tidak semestinya mampu mengawal rasa dan perasaan emosi tetapi hanya membangunkan fikiran. Berjaya dalam pelajaran tidak bermaksud akan berjaya dalam kehidupan. Oleh yang demikian, seorang Individu muslim mestilah mengusai ilmu disamping mentaati perintah ALLAH serta berusaha menjadi orang yang mencapai kebaikan. Tindakan tersebut dapat melahirkan seseorang yang menjiwai ilmu dimana akan terbit rasa yang baik dari hatinya.
Manusia dengan akalnya memerlukan input dari sesuatu yang bersifat ‘natural’ yang memberi pengaruh kuat dalam tindakan serta keputusannya. Profesor Hamka turut memberikan satu istilah peringatan iaitu ‘hujung akal, pangkal agama’ dimana manusia mencari-cari sesuatu adalah bermula dari agama. Agama meletakkan kebahagiaan, ketengangan dan kejayaan manusia itu pada tauhid dan iman seseorang. Jika iman dipelihara dengan baik, segala bentuk perbuatan tidak akan mempengaruhi emosi. Emosi mampu dijaga dengan hati melalui rasa yang penuh kebaikan. Apabila keimanan disemai dalam diri, hati akan menjadi kukuh daripada sifat negatif. Oleh itu, untuk mengawal dan menguruskan emosi, ianya perlu dibina dengan iman.
Orang-orang yang beriman sentiasa akan merujuk pada ALLAH dan tindakannya adalah mengikut syariat Islam serta mereka tidak akan berasa dukacita. Bagi mereka yang tiada pegangan ini, setiap tindak balasnya akan menyebabkan berlaku perkara yang diluar kawalan akal fikiran. Perasaan dendam dan marah akan menyelubungi hidupnya tanpa menghiraukan perasaan orang lain. Perkara ini turut diceritakan di dalam hadis riwayat Bukhari yang menerangkan daripada Abu Hurairah RA bahawasanya seorang lelaki berkata Nabi SAW, “Berilah pesanan kepadaku”, lalu Nabi SAW menjawab, “Janganlah engkau menjadi seorang pemarah”, orang itu mengulangi permintaannya beberapa kali, Nabi SAW menjawab, “Pada setiap kalinya, janganlah engkau menjadi seorang pemarah.”
Umat Islam dituntut supaya meminta nasihat serta sentiasa berpandukan kepada orang alim ulamak untuk membentuk peribadinya. Marah dan emosi yang tidak terkawal adalah sebahagian daripada sifat-sifat syaitan yang dikeji oleh Islam. Oleh itu umat Islam hendaklah menjauhi sifat tersebut dan berusaha memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa supaya meningkat keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 Jun 2016