Mengenali, Mencintai & Meneladani Imam Ahmad Ibn Hanbal (Bhg. 3)

SEKIRANYA kita bicarakan kisah-kisah hebat para ulama terdahulu, pasti terasa kerdil akan diri dan sumbangan kita terhadap agama. Kisah-kisah ulama terdahulu ini disampaikan agar dapat menimbulkan keinginan dan kecintaan kita kepada ilmu dan menuntut ilmu dan kita memuliakan ahli ilmu itu. Menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh), Ustaz Muhadir Hj. Joll menyambung kisah mengenai Imam Ahmad ibn Hanbal.

Imam Ahmad Ibn Hanbal orangnya tinggi, kemerah-merahan mukanya dan kacak. Beliau mempunyai janggut yang hitam serta selalu berserban. Beliau seorang yang menjaga keterampilan. Sheikh Abdul Malik ibn Abdul Hamid katakan “saya rasa belum pernah saya lihat seseorang yang badannya sangat bersih dan saya tidak pernah lihat seseorang yang sangat disiplin dalam bab minum, bersihkan rambutnya, menjaga kebersihan badannya dan tidak ada saya lihat orang yang sangat putih bajunya melainkan Imam Ahmad Ibn Hanbal.”

Anak Imam Ahmad, Imam Abdullah menyebut berkenaan solat Imam Ahmad, katanya “bapaku solat sehari semalam tiga ratus rakaat. Apabila beliau sakit dan melemahkan badannya, beliau akan solat hanya seratus lima puluh rakaat.” Ini menunjukkan betapa hebatnya ibadah Imam Ahmad kepada Allah SWT. A-Imam Al-Maimuni katakan “tidak pernah aku lihat orang yang begitu bagus solatnya melainkan Imam Ahmad dan tidak pernah aku lihat orang yang melakukan sunnah-sunnah melainkan Imam Ahmad.” Anak Imam Ahmad yang bernama Soleh menyebut “aku selalu mendengar bapaku membaca Surah Al-Kahfi.”

Ibrahim bin Syammas katakan “aku kenal Imam Ahmad sejak kecil lagi dan beliau bangun malam sejak kecil lagi.” Anaknya, Imam Abdullah turut katakan “kadang-kadang aku mendengar bapaku berdoa di malam hari. Beliau banyak berdoa dan merendahkan suaranya.”

Terdapat satu amalan yang perlu kita lakukan kepada guru kita sepertimana yang dilakukan oleh Imam Ahmad kepada gurunya Imam As-Syafie. Disebut di dalam kitab Manaqib Imam As-Syafie karangan Imam Al-Baihaqi, Ahmad ibn A-Laith mengatakan “aku mendengar Imam Ahmad mengatakan : saya mendoakan kepada Allah SWT untuk Imam As-Syafie pada solat malamku sejak empat puluh tahun.”

Kata Imam Abdullah, anak Imam Ahmad “bapaku berjalan kaki ke Tarsus, pernah pergi haji dari Iraq berjalan kaki. Sangat sabar orangnya. Imam Ahmad tidak pernah mninggalkan puasa pada hari Isnin dan Khamis serta hari-hari putih.” Khatab ibn Basyar mengatakan “saya tanya kepada Imam Ahmad sesuatu tentang warak dan saya lihat beliau dalam keadaan yang sangat sedih lalu beliau mengambil kain dan menutup mukanya.” Begitulah gambaran takutnya Imam Ahmad kepada Allah SWT dan enggan dilihat dilihat dirinya riak. Al-Mawarzi, anak murid Imam Ahmad pernah berkata “Imam Ahmad tatkala ingat tentang kematian, kita akan melihat ibrah dan pengajaran daripada beliau. Kata Imam Ahmad : takut kepada Allah boleh menghalang aku daripada makan dan minum. Apabila aku ingat akan mati, maka benda-benda dunia ini akan menjadi ringan bagiku dan maut itu lebih berat lagi. Itu adalah satu makanan lain daripada makanan biasa dan itu adalah satu pakaian lain daripada pakaian biasa. Kematian itu adalah hari-hari yang sedikit yang tidak dapat dibandingkan dengan kefakiran sesuatu pun. Kalaulah aku boleh cari satu jalan agar tidak mengingati kematian ini kerana ingat akan kematian itu akan buatkan aku lebihkan kepada akhirat sehingga meninggalkan kerja-kerja dunia.”

Imam Ahmad bukan sahaja orang yang bijak dan warak serta taat kepada Allah SWT, bahkan beliau mempunyai nilai adab yang tinggi. Anak muridnya, Al-Imam Al-Mawarzi mengatakan “Abu Abdillah bukanlah orang yang suka buat-buat tidak tahu atau tidak mengambil endah sesuatu perkara. Kalau ada orang yang merendah-rendahan beliau, beliau akan beradab dan sifat lemah lembut. Kata beliau : cukuplah Allah SWT dengan urusan kamu ini. Beliau tidak pernah merasa hasad dengan orang dan tidak pernah tergesa-gesa mengatakan orang lain salah. Banyak tawaduk dan akhlak yang bagus. Beliau sering dilihat dengan wajah gembira dan sering memudahkan urusan. Beliau tidak kasar dan sekiranya beliau marah dan suka hanya kerana Allah SWT. Sekiranya beliau ada sesuatu yang berkaitan dengan agama, maka marahnya akan lebih lagi. Beliau kadangkala dikatakan sesuatu oleh jirannya dan beliau akan berdiam sahaja. Beliau juga menundukkan pandangannya kepada perempuan. Beliau sekiranya memasuki ke kawasan perkuburam beliau akan menanggalkan sepatunya dan beliau akan membawanya sendiri. Beliau sangat suka berjalan dengan perlahan. Jarang keluar daripada mulutnya perkataan yang banyak melainkan tentang hadith. Sekiranya beliau menyebutkan tentang orang soleh, beliau akan sebut dengan tenang dan penuh semangat. Perkataan beliau sangat baik. Apabila seseorang datang berjumpa dengannya, beliau akan bermanis muka dan mengadap orang tersebut.” Begitulah kisah mengenai Imam Ahmad ibn Hanbal yang mempunyai keperibadian yang tinggi, penuh wibawa dan miliki ilmu yang luas.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 26 September 2017
\"\"
Scroll to Top