“Usaha Itu Tangga Kejayaan”. Pepatah yang sering kita dengar. Umpama menaiki tangga, tanpa usaha pasti tidak akan dapat mendaki untuk kepuncak yang tinggi. Selangkah demi selangkah kaki diangkat, perlukan kudrat dan tenaga.
Kita dapati banyak sekali ayat-ayat Al Quran dan hadis yang menyeru umatnya supaya sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan sama ada di dunia mahupun di akhirat. Usaha dan amalanlah yang menjadi perkara yang dinilai oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud, “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Hendaklah kamu semua berusaha (beramal) kerana Allah akan melihat dan menilai apa yang kamu usahakan.” (Surah At-Taubah,ayat 105). Sesungguhnya kejayaan bukan datang secara bergolek, bahkan ia mesti disusuli dengan iltizam yang tinggi demi mencapai cita-cita yang disasarkan. Tetapkanlah matlamat kita untuk mengejar cita-cita yang sebenar untuk masa hadapan. Kesan yang mendalam bakal terhasil akibat daripada momentum atau tindak balas daripada semangat berjuang dalam mengejar cita-cita yang sebenar.
Dalam rancangan Pesona D’ Zahra pada Isnin lalu di radio IKIMfm jam 10.15 pagi yang membawakan tajuk ‘Dua Rahsia Kejayaan’, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin berkata sebagai tanda kasih dan sayang pada umat-Nya, Allah SWT menjanjikan kejayaan yang dikurniakan secara langsung (wahbiyah) tanpa sebarang usaha atau memperolehnya setelah berusaha keras. Tidak dinafikan ada sesetengah manusia meraih kejayaan tanpa diduga. Dari mana datangnya tuah kalau bukan daripada Sang Pencipta yang redha dengan usaha gigih hamba-Nya. Ternyata tuah dan rezeki melimpahi hidupnya. Mendapat keuntungan yang luar biasa dalam perniagaan, dinaikkan pangkat oleh majikan, mendapat gelaran juara dalam sesuatu pertandingan dan sebagainya. Dalam konteks institusi kekeluargaan pula, adakalanya seorang suami yang dikurniakan isteri yang sentiasa amanah dan cekap ketika menjalankan tanggungjawab. Hasilnya , mampu mengecap kemanisan dan kebahagiaan sepanjang mendirikan rumah tangga .
Semua yang wujud dalam kehidupan di dunia ini, hadir dengan realiti. Hakikatnya setiap manusia ingin berjaya . Namun tidak semua memiliki tuah. Ada manusia yang memperolehi kejayaan berkat hasil usaha yang berterusan (istiqamah). Terdapat hadis yang menceritakan tentang seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang datang berjumpa Baginda untuk bertanyakan sesuatu. Beliau ingin meminta nasihat daripada Rasulullah SAW tentang Islam dan mengharapkan agar jawapan Baginda nanti akan menjadi kuci kejayaannya dan panduan hidupnya menuju keredhaaan Allah SWT. Lantas Rasulullah SAW menjawab dengan jawapan yang ringkas dan padat: Katakanlah , Aku beriman kepada Allah,” kemudian beristiqamahlah.”
Nasihat yang ringkas ini amat berharga dan cukup bermakna untuk diri sahabat yang bertanya. Malah nasihat itu juga amat berharga dan tidak ternilai untuk kita sebagai umat Islam, Baginda SAW seolah-olah menyebut bahawa untuk kita berjaya di dunia dan akhirat, perteguhkanlah dua tiang utama iaitu iman yang mantap dan amalan yang konsisten serta berterusan. Oleh itu, jika kita selama ini masih lagi berada dalam zon yang selesa, kerap menangguhkan tugasan yang diamanahkan, berusahalah sedaya upaya-upaya untuk melawannya. Manusia yang suka menangguhkan kerja perlu mengira waktu yang berlalu dengan kiraan saat. Apabila masa yang dirugikan adalah sejam, maka mereka perlu menyedari sebanyak 3,600 saat sudah dimusnahkan. Sehari menyamai 86,400 saat dan seminggu pula menyamai 604,800 saat.
Sesungguhnya manusia dikurniakan oleh Allah SWT dengan rezeki dan nikmat yang berbeza. Ada yang kaya, cerdik, sihat, sempurna sifatnya dan sebagainya. Kesemua kelebihan yang dianugerahkan oleh Illahi sebenarnya bukanlah lesen percuma untuk kita sebagai hamba-Nya berlagak sombong, bongkak, takabbur terhadap mereka yang ditimpa nasib malang dan kurang bernasib baik. Jauhilah daripada memiliki sifat-sifat mazmumah ini. Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa. Dia mampu menarik balik segala apa yang diberikan kepada kita dengan sekelip mata sekiranya hanyut dalam keangkuhan dan kesombongan. Perkara ini jelas dihuraikan dalam ayat yang bermaksud “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu(kerana memandang rendah ) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan berlagak sombong ; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri . (Surah Luqman , ayat 18) .
Setiap kesusahan itu ada kemudahan dan kejayaan . Untuk meraih kejayaan secara langsung daripada Allah SWT, kita dianjurkan untuk bersungguh-sungguh dalam memanjatkan doa kepada-Nya. Dalam Al-Quraan terdapat pelbagai doa yang boleh dibaca dan diamalkan untuk mendapat kesejahteraan dan kejayaan. Selain itu, kita juga dituntut agar menolong agama Allah dengan mengorbankan harta dan jiwa sepenuhnya kepada Allah SWT . Sebagaimana yang difirmankan oleh -Nya yang bermaksud “Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad , ayat 7 ) .InsyaAllah, kejayaan juga pasti hadir dengan melakukan amalan-amalan lain seperti membaca surah Al-Khafi pada malam Jumaat dan meluaskan pembacaan dan pengetahuan kita yang menjurus kepada kisah suka duka di sebalik kejayaan seseorang individu atau tokoh.
Peribahasa Melayu ada menyebut “Kalau tidak dipecahkan ruyong manakan dapat sagunya”, begitu juga dengan kejayaan, tidak mungkin akan dapat diperolehi dan dikecapi tanpa adanya usaha dan pengorbanan. Ayuh, bersamalah kita berusaha mendaki tangga agar dapat mencapai cita-cita dan impian sehingga beroleh kejayaan.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 Mac 2016