Membina Keluarga Bahagia

DALAM rancangan Topik Jumaat yang bersiaran Jumaat jam 9 pagi di radio IKIMfm bersama seorang tokoh pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustazah Halimah al-Aydrus berbicara tentang bagaimana “Membina Keluarga Bahagia “
Ustazah memulakan dengan berkata bahawa keluarga merupakan unit asas untuk melahirkan individu-individu yang bermanfaat untuk masyarakat dan kemudiannya buat negara dan umat yang berguna bagi agama Islam. Nabi Muhammad SAW amat mementingkan pernikahan dan mewujudkan sebuah keluarga sehingga Nabi SAW bersabda, mafhumnya “Nikah itu sunnahku, dan sesiapa yang enggan terhadap pernikahan maka dia bukan dari kalanganku”. Baginda SAW juga mengatakan bahawa pernikahan itu sebahagian daripada agama. Al-Qur’an turut menyebut betapa perkahwinan itu agar menjadi tempat mawaddah dan rahmah, iaitu tempat manusia mendapatkan ketenangan dan kedamaian dalam hidupnya. Begitulah pentingnya institusi rumahtangga yang ditetapkan oleh ajaran Islam agar manusia dapat hidup aman damai dan berkasih sayang.
Namun untuk membina sebuah rumahtangga yang aman damai ia mestilah bermula dengan rumahtangga yang saling mencintai satu sama lain. Ibubapa yang menyintai anak-anaknya. Suami yang menyintai isterinya dan isteri yang menyintai suaminya. Anak-anak yang menyintai dan menghormati orang tuanya dan begitulah yang lainnya. Peribadi-peribadi yang saling menyintai satu sama lain ini akan keluar ke tengah masyarakat sebagai individu yang saling menyintai orang lain juga, yang membawa ketenangan dan kedamaian kepada masyarakat dan kepada semua tempat yang mereka pergi. Adapun mereka yang gagal menemui kebahagian dalam rumahtangga, jangan terkejut jika mereka mencari kebahagiaan di luar rumahtangga dan mereka ini kemungkinan akan hanyut dan terlanjur dalam pelbagai aktiviti dan gejala mungkar akibat godaan dan hasutan syaitan demi mencari setitis kebahagiaan. Lanjutan daripada itu, mereka  yang tidak bahagian ini yang kemudiannya membina keluarga mereka sendiri terus menerus melanjutkan ketidakbahagiaan itu dalam rumahtangga hingga melahirkan anak-anak yang kemudiannya juga tidak bahagia, mengambil ubat-ubat penenang dan seumpamanya. Lahirlah pencuri, perompak, mereka yang tiada amanah.
Maka oleh kerana itu betapa pentingnya kita mencipta cinta kasih dalam rumahtangga. Lantaran itulah Allah SWT berpesan agar jangan menjadi orang yang keras dan tiada cinta kasih dalam keluarga. Ada beberapa cara untuk melahirkan sebuah rumahtangga yang subur cinta kasihnya. Pertama sekali ialah dengan mencintai keluarga kita kerana Allah SWT. Niat ini merupakan perkara pokok dalam ajaran Islam. Imam al-Haddad dalam kitab Al-Nasaih Dinniyah menyebut bahawa orang yang niatnya bagus, perbuatannya bagus; manakala orang yang niatnya buruk maka perbuatannya akan buruk walaupun luarannya nampak seakan bagus. Ada orang yang menyintai orang kerana rupa parasnya, atau hartanya, atau pangkatnya tidak kerana Allah. Menyintai bukan kerana Allah ini akan ada tarikh luputnya kerana rupa paras, harta benda semuanya akan berakhir. Orang yang suatu masa di awal percintaan atau perkahwinan mengungkapkan “aku tidak dapat hidup tanpamu” selang beberapa tahun akan mula mengungkapkan pula “aku tidak dapat denganmu”. Itu kerana kecintaan yang bukan didasari dengan cinta tulus kerana Allah lama kelamaan dia akan pudar dan luput. Semuanya selain daripada Allah SWT akan fana’ (binasa) begitu jugalah cinta kita kepada makhluk juga akan binasa akhirnya.
Apapun yang mendasari seseorang kecuali niatkan Allah akan berakhirnya.  Seorang ibubapa yang mencintai anak-anaknya dengan harapan anak-anaknya akan membantu hidupnya ketika tuanya nanti, maka akhirnya dia akan menemui kekecewaan. Jika isteri menyintai suami kerana mengharapkan suaminya mencintainya sepenuhnya, suatu hari nanti mungkin dia akan menemui kegagalan apabila si suami tidak lagi menyintainya.
Apakah yang dimaksudkan dengan mencintai kerana Allah? Maksudnya ialah kita menyintai seseorang itu samada isteri atau anak-anak adalah kerana mengikut titah perintah Allah SWT agar menyintai mereka ini. Sebagai contoh apabila anak-anak menyintai ibubapa adalah kerana menurut titah perintah Allah SWT agar berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa “kami mewasiatkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua-dua ibubapanya” (surah Luqman, ayat 14), dan mengasihani mereka berdua, mendoakan mereka walaupun mereka itu dalam penuh keuzuran, kelemahan, kedhaifan. Cukuplah perintah Allah SWT itu sebagai alasan untuk kita mencintai mereka walau apapun keadaan mereka.
Mencintai keluarga adalah suatu yang diperintahkan oleh Allah SWT apatah lagi anak-anak itu dibesarkan dalam rahim wanita itu sendiri kerana mereka adalah sebahagian daripada dirimu sendiri dulu. Anak-anak itu nanti yang akan mendoakanmu kelak di Alam Barzakh. Kesimpulannya kecintaan kepada kaum keluarga itu merupakan sebahagian daripada tuntutan ajaran Islam agar apabila wujud keluarga yang saling mengasihani satu sama lain akan terbina masyarakat, negara yang saling mencintai satu sama lain.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 Mac 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top