MBI SELANGOR HARGAI PERANAN MEDIA, PERKUKUH SINERGI SEMPENA RAMADAN

PETALING JAYA, 13 Mac (IKIM)— Kumpulan Menteri Besar Selangor (Incorporated) MBI Selangor menghargai peranan penting pengamal media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat serta membantu memperkukuh kefahaman terhadap setiap inisiatif pembangunan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Dato’ Ts. Saipolyazan M. Yusop berkata, hubungan erat antara organisasi itu dan media amat penting kerana kedua-duanya memikul amanah besar kepada masyarakat.

“Di Kumpulan MBI Selangor, amanah kami ialah memastikan setiap usaha, pelaburan dan inisiatif memberi manfaat kepada rakyat, memacu ekonomi negeri serta memelihara kelestarian alam sekitar demi generasi akan datang.

“Media pula memikul tanggungjawab menyampaikan maklumat yang tepat, seimbang dan membina kefahaman masyarakat. Dua amanah ini saling melengkapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Iftar Harmoni: Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakan Media MBI Selangor 2026 di Le Méridien Petaling Jaya di sini.Menurut beliau, majlis berkenaan bukan sekadar acara berbuka puasa, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh kerjasama strategik antara MBI Selangor dan pengamal media.

Saipolyazan turut merakamkan penghargaan atas profesionalisme media dalam membuat liputan pelbagai isu termasuk perkara yang rumit dan sensitif sepanjang tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata Kumpulan MBI Selangor akan terus memberi fokus kepada penambahbaikan tadbir urus, ketelusan serta memperkukuh impak pembangunan kepada negeri dan rakyat.

Malah katanya, MBI Selangor kini melangkah lebih jauh dengan meneroka pasaran baharu di peringkat serantau dan global melalui kerjasama strategik.

Antara inisiatif utama ialah penganjuran Selangor International Business Summit (SIBS) @ ASEAN yang julung kali diadakan di Bandung, Indonesia pada 9 hingga 11 Julai depan.

“Penganjuran ini membuka peluang lebih luas untuk mempromosikan kekuatan ekonomi Selangor di rantau ASEAN serta mengukuhkan kedudukan negeri sebagai pintu masuk utama pelaburan serantau,” katanya.Selain itu, MBI Selangor turut mengembangkan kepakaran sektor air ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama strategik dengan Kazakhstan.

Menurut beliau, kerjasama itu mencerminkan kemampuan MBI Selangor menawarkan penyelesaian bernilai tinggi dalam bidang pengurusan air dan teknologi berkaitan sehingga jenama Selangor semakin diiktiraf di persada global.

“Banyak lagi usaha sedang digerakkan termasuk menarik pelaburan strategik, memperkukuh prestasi anak syarikat serta memastikan manfaat pembangunan sampai kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya komited untuk terus bersikap terbuka dan mudah bekerjasama dengan media dalam memastikan masyarakat mendapat maklumat yang jelas mengenai hala tuju pembangunan negeri.

Mengakhiri ucapan, beliau mendoakan agar Ramadan membawa ketenangan dan keberkatan kepada semua serta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh hadirin.

Majlis tersebut turut menghimpunkan barisan pengurusan tertinggi dan ketua jabatan MBI Selangor bersama pengamal media tempatan dalam suasana penuh harmoni dan ukhuwah.

WhatsApp
Scroll to Top