MASJID SELIAAN JAKIM DISARAN BUAT SOLAT HAJAT DOAKAN KEJAYAAN MISI PM DI RIYADH

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) — Masjid-masjid utama di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) disaran melaksanakan solat hajat bagi mendoakan kejayaan misi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mewakili Malaysia dalam Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh pada Isnin ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im dalam kenyataan hari ini berkata saranan itu terutama kepada Masjid Negara, Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, diminta untuk melaksanakan solat hajat itu selepas solat Isyak bermula hari ini sehingga Isnin depan.

Beliau berkata semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan turut dimohon melaksanakan solat hajat untuk tempoh waktu yang sama.

“JPM (Hal Ehwal Agama) ingin menyatakan sokongan padu kepada Perdana Menteri atas ketegasan untuk membawa usul menghentikan kekejaman Israel terhadap Palestin pada Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam.

“Pelaksanaan solat hajat ini adalah untuk memohon doa dan perlindungan daripada Allah agar perjalanan dan misi Perdana Menteri mendapat keberkatan serta mencapai kejayaan demi manfaat negara dan ummah,” katanya.

WhatsApp
Scroll to Top