MASJID SELIAAN JAKIM DAN JAWI DISERU TUNAI SOLAT HAJAT, QUNUT NAZILAH, TANDA SOLIDARITI GAZA – MOHD NA’IM

PUTRAJAYA, 20 Mei (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, menyeru seluruh umat Islam di Malaysia agar bersolidariti dengan rakyat Palestin di Gaza yang sedang menderita akibat serangan rejim Zionis.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menggesa supaya semua masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengadakan Solat Hajat dan Qunut Nazilah secara berjemaah sebagai tanda sokongan dan doa buat penduduk Gaza.

“Sebagai umat Islam yang prihatin dan bersaudara, marilah kita bersatu hati memohon pertolongan Allah SWT agar melindungi saudara-saudara kita di sana daripada sebarang bentuk kezaliman dan kemusnahan,” katanya.

Pada Ahad lalu (18 Mei), Israel melancarkan Operasi Gideon’s Chariot yang bertujuan untuk menduduki Gaza secara menyeluruh dan memindahkan penduduk Gaza secara paksa ke Rafah.

Tambah memburukkan keadaan, penduduk Gaza kini berada dalam krisis kemanusiaan kritikal akibat sekatan bantuan makanan oleh Israel yang mencabuli perjanjian gencatan senjata pada 18 Mac lalu.

Mohd Na’im turut menyeru para imam untuk memimpin bacaan Qunut Nazilah terutamanya dalam solat Subuh, Maghrib dan Isyak, serta memperbanyakkan doa khusus bagi keselamatan rakyat Palestin dan pembebasan bumi Al-Quds.

Tambah beliau, usaha ini merupakan manifestasi solidariti umat Islam Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin serta mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT.

Disediakan oleh : Husna Fathiyyah Mohd Fairuz

WhatsApp
Scroll to Top